Sukan Lain

Shah Firdaus raih perak di Mesir

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Walaupun tanpa kehadiran jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, namun pasukan Malaysia tidak berdepan masalah untuk meraih pingat perak acara keirin lelaki di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Kaherah, Mesir, malam tadi.

Pada aksi final yang berlangsung di Velodrom Antarabangsa Kaherah, pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mencipta sensasi apabila memenangi pingat perak selepas menamatkan saingan di tempat kedua dengan perbezaan masa +0.057 saat (s) di belakang pelumba Jepun, Shinji Nakano.

Lebih manis lagi kejayaan yang diraih Shah Firdaus itu seolah pengubat duka selepas gagal menamatkan perlumbaan dalam acara sama Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) Jakarta, Indonesia Februari selepas berlaga dengan pelumba Australia, Sam Dakin di saat akhir perlumbaan.

"Detik ini boleh dikatakan begitu manis dan bermakna untuk saya secara peribadi. Sebelum ini, sudah terlalu banyak posisi podium yang terlepas daripada genggaman di final kejohanan-kejohanan dunia dengan pelbagai bentuk halangan.

"Kita merancang, perancangan Allah lebih baik. Kita berusaha dan meminta dengan ilmu yang terbatas, Allah memberi dengan pengetahuan-Nya yang maha luas.

"Terima kasih kepada yang sentiasa menyokong dan mendoakan. Semoga kejayaan ini memberi motivasi dan menyuntik semangat untuk saya dan pasukan melakar kejayaan yang lebih baik," tulis Shah Firdaus di laman Instagram miliknya.

Pada aksi akhir itu, Nakano memenangi emas dengan catatan masa 10.613s manakala gangsa menjadi milik rakan senegaranya, Kaiya Ota yang mencatat masa 10.686s.

Pada 25 Februari lalu, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memenangi perak acara keirin pada siri pertama Piala Negara-Negara yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.

Bagaimanapun, Azizulhasni yang diberi jolokan 'The Pocket Rocketman' terpaksa menarik diri pada perlumbaan di Kaherah atas nasihat daripada doktor dan beberapa faktor lain yang memerlukan dia berehat seketika.

Perlumbaan Piala Negara-Negara selepas ini akan beralih ke Milton, Kanada yang dijadual berlangsung pada 20 hingga 23 April ini.

Disiarkan pada: March 17, 2023 @ 11:40am
d