Sukan Lain

Nayla Kamellia ungguli saingan Push Bike Antarabangsa

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Atlet cilik negara, Nayla Kamellia Mohd Razif berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila menjuarai Kejohanan Push Bike Antarabangsa 2023 di Velodrom Johor di Johor Bharu, pada 3 dan 4 Mac lalu.

Nayla, 8, yang bersekolah di Sekolah Rendah Agama Integrasi Dato' Mufti Yusof Sahabuddin mencipta kejutan apabila memenangi kategori perempuan bawah 8 tahun (B-8) untuk mengenepikan pesaing lain.

Kepantasan Nayla sememangnya sukar digugat biarpun dicabar sengit pelumba-pelumba negara lain seperti dari Thailand, Indonesia dan Singapura.

Ibu Nayla, Eleena Abdul Rani, 37, mengakui tidak menyangka anak perempuannya itu mampu menjuarai saingan terbabit kerana ia bertaraf antarabangsa.

Katanya lagi, kejayaan itu nyata membakar semangat Nayla untuk terus berjaya di pertandingan akan datang selepas ini.

"Kami memang tak sangka di mana ini penampilan keduanya selepas dia dapat tempat kedua dalam kategori B-7 pada tahun lalu. Tapi Nayla memang berusaha keras sebelum pertandingan itu.

"Setiap minggu kami bawa dia berlatih dan nampak ada potensi. Lepas dia menang itu, memang dia nampak lagi bersemangat dan berkobar untuk bertanding lagi," kata Eleena kepada Arena Metro.

Selain acara B-8, Nayla turut beraksi dalam kategori Terbuka (B-7 hingga 12) dan menamatkan saingan di tempat ketiga.

Kecemerlangan Nayla tidak terhenti di situ, apabila dia turut menyertai acara Drag Race dalam kategori campuran (tempat ketiga) serta Terbuka Wanita (tempat kelima).

Disiarkan pada: March 17, 2023 @ 5:40pm
d