Sukan Lain

Usyk dakwa Fury cuba mempermainkannya

Oleh Agensi

London: Oleksandr Usyk akhirnya membuka mulut mendedahkan punca rundingan untuk pertarungan juara terulung heavyweight dunia dengan Tyson Fury menemui kegagalan.

Petinju Ukraine itu sebelum ini dilihat bakal berentap dengan the Gypsy King pada hujung 2023 untuk pertarungan terulung pertama sejak 1999.

Bagaimanapun, menurut ejen Usyk, Fury terus membuat pelbagai permintaan menyebabkan perjanjian itu gagal dimeterai, walaupun pemegang tali pinggang WBA, IBF dan WBO itu bersetuju dengan pembahagian hadiah secara '70-30'.

Antara permintaan Fury adalah mahu membuang klausa perlawanan ulangan dalam perjanjian pertarungan itu, menyebabkan Usyk sukar menerimanya.

Usyk mendakwa, dia tidak bersedia melayan 'permainan mental' Fury mengenai rundingan itu dan akhirnya sedar tiada apa akan berlaku.

"Saya lihat, tiada apa akan berlaku. Dia cuba mempermainkan kami, jadi saya terus cakap, itu saja, selamat tinggal," kata Usyk.

"Dia menyatakan, 'Pembahagian 70-30, saya adalah raja dan terima kasih kepada saya'. Saya tidak memberi maklum balas mengenai perkara itu dan faham ia adalah permainan mentalnya.

"Raja adalah raja. Raja tidak perlu menjerit dan memberitahu semua orang bahawa dia adalah raja."

Berikutan pertarungan dengan Fury tidak menjadi kenyataan, Usyk terus memandang ke depan dan berminat untuk menentang Daniel Dubois di Britain, hujung musim panas nanti.

Disiarkan pada: April 6, 2023 @ 11:50am
d