Sukan Lain

Javen-Qi Shen kempunan emas [METROTV]

Oleh Syazwan Msar

Phnom Penh: Malaysia terus kemarau kilauan emas dalam sukan ping pong apabila wakil negara sekali 'terciduk' terhadap lawan dari Singapura dalam acara final beregu lelaki, di Dewan Ping pong Kompleks Sukan Morodok Techo.

Gandingan Choong Javen-Wong Qi Shen sukar menyekat kemaraan wakil seberang tambak Koen Yew En Pang-Yong Izaac Quek sebelum lawannya itu menerusi kemenangan 1-3 sekali gus mengesahkan emas milik Singapura.

Walaupun ketinggalan pada set pertama 3-11 namun wakil negara yang berguru di China sebelum beraksi di Sukan Sea Kemboja bangkit pada pertemuan kedua 11-8.

Saingan sengit terus dipamerkan wakil negara namun pengalaman memisahkan mereka sebelum akur tumpas pada dua set berikutnya 8-11 dan 4-11.

Namun, keputusan itu boleh dikatakan 'gembira dalam tangisan' apabila mereka sebenarnya mencipta sejarah mengulangi pencapaian yang diraih Malaysia dalam acara beregu lelaki ping pong 30 tahun lalu.

Kali terakhir Malaysia menempah slot final dan memenangi perak menerusi gandingan Yong Hong Cheh dan Khor Kok Seong namun selepas itu pencapaian terbaik wakil negara dalam acara beregu lelaki adalah membawa pulang gangsa.

Sementara itu, Qi Shen mengakui pengalaman dan persediaan yang rapi wakil Singapura memberi kelebihan kepada mereka untuk mencipta kejayaan di pentas final.

"Saya mungkin tak cukup bagus lagi walaupun lihat boleh beri saingan dan mereka juga lebih bersedia sebelum perlawanan dan turut berpengalaman di pentas final," katanya.

Malaysia masih berpeluang untuk membawa pulang emas dalam sukan ping pong menerusi kategori individu lelaki dan wanita yang membuka tirai esok.

Disiarkan pada: May 14, 2023 @ 7:36pm
d