Sukan Lain

Regu takraw gagal bawa pulang emas

Oleh Syazwan Msar

Phnom Penh: Malaysia perlu menunggu lama lagi untuk merasai nikmat emas dalam acara doubles (regu dua sepasukan) selepas tewas 2-1 kepada Indonesia pada aksi yang berlangsung di Pusat Latihan Nasional Olimpik, sebentar tadi.

Acara doubles yang diletakkan sebagai harapan untuk merangkul emas menerusi gandingan Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Zawawi mempamerkan aksi meyakinkan pada pertemuan set pertama menentang Saiful Rijal dan Muhammad Hardiansyah Muliang sekali gus mencatatkan kemenangan 21-16.

Namun, memasuki set kedua, duo negara itu kurang menyerlah hingga membenarkan lawan mengutip mata demi mata sekali gus Malaysia tumpas 16-21.

Malah, percaturan Indonesia membuat pertukaran dengan memasukkan Rusdi Rusdi untuk menggantikan Saiful Rijal turut menjadi apabila pemain negara terus 'dilibas' pada set penentuan sekali gus tewas menerusi 13-21.

Keputusan terbabit sekali gus menyaksikan Indonesia membawa pulang emas manakala Malaysia pula berpuas hati dengan perak.

Situasi terbabit juga merencatkan harapan Malaysia untuk membuka tirai hari ini dengan kilauan emas sekali gus terpaksa mengharapkan acara regu untuk menceriakan kem negara kelak.

Sementara itu, Noraizat berkata, walaupun tidak mendapat kilauan emas namun berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan pada acara final itu.

"Saya berpuas hati walaupun kalah kerana apa-apa terjadi perlu tenang...Tidak kisah jika orang hentam namun sudah berikan terbaik.

"Sudah pastinya, mahu bawa pulang emas namun nasib tidak menyebelahi dan akan berusaha pada temasya akan datang," katanya.

Mengikut rekod, ketika ini kem sepak takraw negara sudah membawa pulang lima pingat masing-masing tiga perak dan dua gangsa.

Disiarkan pada: May 15, 2023 @ 1:22pm
d