Sukan Lain

Pelumba TSG, TSC terus jadi sandaran

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Gabungan dua pasukan benua tempatan, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC) di Sukan Sea dijangka akan diteruskan lagi untuk Sukan Sea akan datang selepas formula itu menghasilkan pulangan konsisten dari segi pungutan pingat bagi saingan lebuh raya.

Menurut pengurus pasukan, Norazman Abu Samah, formula menggabungkan dua pasukan itu diteruskan pada Sukan Sea kali ini memandangkan ia membuahkan hasil yang positif ketika menghadapi temasya sukan dwitahunan itu tahun lalu.

"Itulah formula (gabungan TSG dan TSC) yang kita gunakan apabila kita gagal pada edisi 2019. Kita datang dengan formula baharu dengan panggil pelumba, jurulatih serta mekanik dari kedua-dua pasukan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) semalam.

Pencapaian satu pingat emas, dua perak dan dua gangsa yang dilakar skuad berbasikal lebuh raya negara pada temasya di Kemboja boleh dianggap sebagai satu pencapaian membanggakan.

Bezanya kali ini emas hadir menerusi pelumba TSG, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki mengulangi pencapaian rakan sepasukannya, Nur Aiman Mohd Zariff.

Ujar Norazman, keputusan membanggakan itu disebabkan semangat kerjasama ditunjukkan barisan pelumba yang sebahagian besar daripada pasukan TSG dan TSC.

"Alhamdulillah keserasian antara jurulatih juga sangat baik. Persefahaman yang ditunjukkan Sayuti Zahit dari TSC dan Saiful Anuar Aziz (TSG) sangat bagus, mereka akrab," katanya.

Dalam pada itu Norazman turut menyuarakan rasa syukur memandangkan empat acara lebuh raya disertai termasuk lebuh raya lelaki dan wanita serta kriterium lelaki dan wanita menghasilkan kedudukan podium.

"Empat acara yang disertai semuanya ada podium, itu yang buatkan saya cukup terharu dengan kerjasama ini. Kunci kejayaan adalah keharmonian dalam pasukan kerana mereka ketepikan ego masing-masing," ujar Norazman.

Disiarkan pada: May 15, 2023 @ 3:55pm
d