Sukan Lain

Motivasi atlet tidak terganggu

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Motivasi dan semangat atlet yang bakal menyertai Sukan Asia Hangzhou bermula September depan tidak akan terganggu atau pun terjejas walaupun sasaran di temasya Sukan Sea Kemboja baru-baru ini tidak tercapai.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2023, Datuk Chong Kim Fatt berkata, atlet yang tersenarai untuk 'berentap' di temasya terbabit sudah pastinya akan berikan persembahan terbaik dalam usaha meraih pingat buat negara.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya akan memantau perkembangan dan persediaan atlet yang bakal ke Hangzhou supaya tidak berhadapan sebarang masalah untuk mencipta keputusan positif kelak.

"Kita sebenarnya kena tengok semua sekali pencapaian atlet di sukan itu (Sukan Sea Kemboja) kerana ada juga atlet atau persatuan sukan mecipta keputusan positif.

"Pada masa sama, kena lihat juga persiapan negara lain seperti Thailand dan Vietnam yang diketahui peruntukan yang dikeluarkan kepada mereka juga tinggi iaitu hampir 10 kali ganda daripada Malaysia.

"Namun, saya percaya atlet negara akan berikan terbaik dalam usaha mengharumkan nama Malaysia di pentas Sukan Asia," katanya.

Selain itu, Kim Fatt berkata, persediaan tuan rumah untuk menganjurkan Sukan Asia 2023 juga tidak berhadapan masalah sekali gus bersedia menerima kunjungan ribuan atlet pada September ini.

"Baru-baru ini adalah lawatan semua CDM ke venue Sukan Asia dan saya melihat persiapan mereka cukup bagus dan sudah lengkap.

"Sekarang ini, kita belum lagi muktamadkan atlet yang akan bertanding di Sukan Asia. Mungkin kira-kira 300 atlet akan bertanding dalam 40 jenis sukan," katanya.

Untuk rekod, Sukan Asia edisi ke-19 itu yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 25 September 2022 ditunda ke tarikh baharu dari 23 September hingga 8 Oktober 2023 dengan persiapan kini sudah berada di peringkat akhir.

Disiarkan pada: May 23, 2023 @ 1:50pm
d