Sukan Lain

Fokus Shereen layak ke Olimpik

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pemegang rekod kebangsaan 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy boleh 'terbang lebih tinggi' dalam usaha untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris selepas menerima bantuan hampir setengah juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ibunya yang juga legenda 800m wanita, Josephine Mary mengakui bebanan kewangan tidak lagi menghantui pelari itu walaupun anaknya akan menamatkan pengajian di Winona State University, hujung bulan ini.

"Itu matlamat dia, dia mahu naik ke podium Sukan Asia, mahu beraksi di Olimpik dan layak secara merit, bukan wild card dan dia berkerja keras mengatasi banyak halangan… kecederaan dan bangkit dengan lebih kuat.

"Dia seorang yang amat fokus, tak perlu saya aturkan kerana dia sendiri memilih sukan olahraga. Dari kecil saya menghantarnya menyertai pelbagai sukan dan dia memilih sukan ini, dia amat ghairah dengan olahraga dan percaya apa yang dia lakukan," katanya selepas menghadiri siding media pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengenai pakej bantuan menyeluruh selama setahun buat Shereen menjalani latihan di Amerika Syarikat (AS), di bawah kendalian jurulatih Derrick White.

Sementara itu, menurut bapa pelari terbabit Samson Vallabouy, Shereen melanjutkan pengajian di Winona sejak 2019 dan semua kos ditanggung keluarganya, namun langit tidak selalu cerah, apabila pandemik Covid-19 turut membadai perniagaan bapanya, Samson Vallabuy hingga hamper merencat impian Shereen.

"Kami menanggung sepenuhnya perbelanjaan Shereen, namun lebih setahun lalu, perniagaan saya terjejas ketika pandemik.

"Selalunya saya menghantar RM10,000 sebulan untuk pelbagai kos perbelanjaan di AS tapi saya tidak mampu bertahan.

"Waktu itulah datangnya Better Malaysia Foundation (BMF), saya berterima kasih kepada Tan sri Vincent Tan (pengasas BMF) kerana membantu," katanya.

Mengikut rekod, bantuan dariapda kerajaan ini adalah yang pertama buat Shereen dan terbesar pernah diterima atlet wanita negara.

Shereen memegang rekod kebangsaan 400m wanita dengan catatan masa 51.80 saat (s) yang dilakukannya pada Kejohanan SAC Relays di Walnut, AS, 15 April lalu, mengatasi rekod berusia 30 tahun milik Rabia Abdul Salam (52.56s) di Kejohanan Asia, Manila, Disember 1993.

Ibunya, Josephine masih memegang rekod kebangsaan acara 800m wanita (2:07.44s) yang dilakukan di Sukan Asia, Seoul, Korea Selatan September 1986.

Bapanyna, Samson Vallabouy pula masih memegang rekod Sukan Sea dalam acara 800m lelaki (1:48.29s) yang dilakukannya pada temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 1989.

Disiarkan pada: May 23, 2023 @ 2:29pm
d