Sukan Lain

Kerley ungguli 100m di Rabat

Oleh AFP

Rabat: Penyandang juara dunia Fred Kerley memenangi acara 100 meter (m) di kejohanan Liga Berlian di Rabat dengan catatan 9.94 saat tanpa kehadiran juara Olimpik, Marcell Jacobs.

Pelari Afrika Selatan, Akani Simbine berada di kedudukan kedua di belakang Kerley mencatatkan masa 9.99sec manakala pelari pecut Kenya, Ferdinand Omanyala di kedudukan ketiga (10.05s).

Trayvon Bromell, pemenang pingat gangsa kejohanan dunia tahun lalu di Oregon gagal menempatkan diri di kedudukan tiga terbaik apabila menamatkan saingan di kedudukan kelima selepas merekodkan 10.10 saat.

"Saya tidak dapat menggambarkan kegembiraan saya kerana memenangi perlumbaan ini dan mencapai rekod pertemuan hari ini," kata Kerley.

"Ini adalah keputusan yang saya jangkakan dan saya akan terus berusaha untuk mencapai kejuaraan dunia dalam keadaan terbaik yang saya boleh."

Jacobs, yang menewaskan Kerley untuk meraih emas di Sukan Olimpik 2020, menarik diri daripada pertarungan yang dinanti-nantikan awal minggu ini kerana masalah saraf belakang.

Kedua-dua pelari itu tidak pernah bersemuka sejak Tokyo tetapi boleh bertemu semula 2 Jun ini dalam saingan Liga Berlian seterusnya di Florence.

Disiarkan pada: May 29, 2023 @ 10:51am
d