Sukan Lain

Afi mengganas di LTdIPT, UPNM masih unggul

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Pelumba Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Mohammad Afi Danial Ramli Abu Bakar terus menguasai Le Tour de IPT (LTdIPT) 2023 pada hari kedua dalam acara kriterium di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka hari ini.

Momentum cemerlangnya pada hari pertama terus dipertahan dengan sekali lagi menggenggam tempat sebagai Pendahulu Keseluruhan (jersi kuning) , jersi hijau (Pecut) dan Pendahulu Bawah 21 (jersi putih).

Dalam Pendahulu Keseluruhan hari ini Afi mencatat masa 3:49:49 diikuti Muhammad Nazirul Aniq Abd Rahman dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA Ledang (KKTML) mencatat masa 3:50:15 dan Muhammad Hariz Md Nazri (KKTML) dengan masa 3:50:56 sekali gus menyaksikan Afi masih unggul dalam saingan LTdIPT 2023 setakat ini.

Afi berkata, dia mengakui saingan hari ini amat bahaya kerana terdapat banyak selekoh tajam namun dapat melakukan yang terbaik sambil akan terus berusaha untuk mengekalkan jersi yang dimiliki dalam dua peringkat berkenaan.

"Saya sangat teruja dengan kejayaan ini dan sudah pasti saya dahagakan lagi kejayaan kerana rasa saya sangat bertenaga malah saya tahu kebolehan saya buat masa ini.

"Hari ini terbukti saya mampu melakukan namun saya tidak boleh merasa selesa kerana ramai pencabar yang berusaha keras untuk merampas kedudukan berkenaan. Apapun saya perlu lalui dengan tenang termasuk berhadapan dengan strategi lawan," katanya.

Menurutnya, beliau akan memulas tenaga dengan lebih agresif bagi mengharungi saingan peringkat ketiga dari Port Dickson ke Putrajaya esok (Isnin).

Afi berkata, dia gembira kerana rakannya Ahmad Irfan Abdul Hamid turut mempertahankan kategori Raja Bukit (Polkadot) sekali gus membolehkan UPNM menguasai saingan dua hari berturut-turut.

Justeru, dia dan rakan sepasukan berusaha memastikan jersi polkadot akan terus menjadi milik UPNM menerusi taktikal yang dirancang sepanjang saingan berkenaan.

Sementara itu, Irfan berkata, dia bersyukur dengan kejayaan Raja Bukit tambahan dia melihat tiada pencabar bukit dalam saingan hari ini namun tetap berhati -hati selepas ini kerana cabaran dari kedudukan kedua tetap sengit kerana memiliki mata yang sama.

Irfan berkata, laluan agak sukar namun matlamatnya untuk menjarakkan kedudukan dari pencabar tempat kedua dalam saingan berkenaan sekali gus berusaha memastikan dia mampu untuk menguasai acara terbabit.

Dia yang juga bekas pelajar Sekolah Sukan Negeri Terengganu mengakui didikan ramai pengendalinya sebelum ini termasuk ilmu jurulatih Syed Husin, Anuar Manan dan yang lain mendorong usahanya untuk mencapai kejayaan yang masih baru untuk dinikmati.

Irfan yang berazam mewakili negara juga mahu memastikan penyertaan dalam Sukan Malaysia (Sukma 2024) buat julung kali dalam misinya meraih kejayaan manis.

Anak kelahiran Kota Tinggi, Johor itu mengakui sokongan ibu bapa, keluarga dan semua pihak memberi impak untuk menguasai kategori itu buat kali kedua berturut -turut dalam LTIPT 2023 setakat ini.

Peringkat ketiga esok membabitkan laluan antara Politeknik Port Dickson-Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan jarak 92.8km sementara peringkat akhir membabitkan jarak 83.5 km antara Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Bangi hingga bangunan KPT di Putrajaya.

Edisi terbabit menawarkan empat jersi iaitu Pendahulu Keseluruhan (jersi kuning), Raja Pecut (hijau), Raja Bukit (polkadot) dan Pendahulu Bawah 21 tahun (putih).

LTdlPT kesinambungan penganjuran Varsity Cycling Challenge (VCC) yang mula dianjurkan pada 2015.

Venue saingan membabitkan UTeM, Kolej Komuniti Segamat, Politeknik Port Dickson, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan KPT.

Disiarkan pada: June 18, 2023 @ 4:04pm
d