Sukan Lain

Ronaldo kagum kejayaan Azizul

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang bukan sahaja dikagumi rakyat Malaysia, malah dia turut dihormati atlet berbasikal lain di benua ini.

Salah seorangnya ialah bintang berbasikal meningkat naik India, Ronaldo Laitonjam, yang meminati anak kelahiran Terengganu itu atas karisma dan semangat juangnya untuk mengatasi kekurangan fizikal dan pelumba lebih hebat dari benua luar, terutamanya Eropah.

"Mental Azizul sangat kuat, kami sangat mengagumi dan meminati dia. Apabila dia bertanding dalam mana-mana kejohanan Asia pelumba lain akan tercari-cari Azizul, suri teladan untuk Asia," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Pemuda berusia 21 tahun itu turut berharap dapat berlatih di bawah Mohd Azizulhasni, jika dia sudi menjadi jurulatih pasukan kebangsaan India selepas bersara.

Ronaldo, sebelum itu menyaksikan Mohd Azizulhasni yang mendapat julukan "The Pocketrocketman" mengulangi kejayaan meraih dua emas pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023, di Velodrome Nasional di Nilai, mengungguli acara pecut dan keirin.

Berasal dari negeri timur utara India, Manipur, Ronaldo dilihat sebagai atlet berbasikal India berpotensi besar, selepas memenangi pingat perak sulung bagi negaranya dalam acara berbasikal trek senior menerusi acara pecut lelaki di ACC yang berlangsung di New Delhi tahun lepas.

Kali ini di Nilai, dia membawa pulang pingat perak acara ujian masa individu satu kilometer (ITT) dengan memperbaharui rekod kebangsaannya 1 minit dan 01.724 saat, selepas melakukan 1:00.863s, menamatkan perlumbaan di belakang pelumba Malaysia Muhammad Fadhil Mohd Zonis.

"Persaingan di Asia bagi saya sangat sengit, terutama berdepan pelumba dari Jepun, China dan Malaysia. Tahun lepas Fadhil menang perak dan saya menang gangsa (dalam ITT), kali ini dia pula menang emas dan saya menang perak, saya harap tahun depan saya boleh memenangi gelaran.

"Saya sangat gembira dan menghargai pelumba Malaysia, saya ada beberapa orang kawan baik di sini memandangkan kami telah bersaing sejak zaman junior. Saya juga banyak belajar daripada Azizulhasni, dan sekarang saya meraih pengalaman daripada pasukan Malaysia," katanya yang dinamakan sempena nama legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho oleh mendiang bapanya.

Beliau yang memendekkan namanya kepada Ronaldo sejak sekolah, kini menyasarkan untuk beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Disiarkan pada: June 22, 2023 @ 6:36pm
d