Sukan Lain

Bapa bersyukur Azeem kekal konsisten

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Rasa syukur yang teramat sangat apabila dapat hadir untuk memberi sokongan kepada anak tercinta, Muhammad Azeem Fahmi ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Asia, di Bangkok baru-baru ini, membuatkan Fahmi Tajuid bersama isteri, Norazah Ibrahim cukup gembira.

Selepas tujuh bulan berpisah kerana Azeem memilih berkelana di bumi Amerika Syarikat dan menyambung pelajaran di Universiti Auburn, Fahmi hadir ke bumi Bangkok untuk menyaksikan perkembangan Azeem.

Biarpun Azeem gagal mencapai apa yang diinginkannya untuk melakukan catatan lebih baik dan mendapatkan tempat ke Kejohanan Dunia, di Budapest, Ogos ini, namun bagi Fahmi dia bersyukur kerana anaknya itu masih mampu konsisten terutama selepas pulih daripada kecederaan pangkal paha yang dialami.

Berkongsi pandangan daripada jurulatih Azeem, Ken Harden, Fahmi berkata, Harden berpuas hati dengan prestasi Azeem setakat ini.

"Kejohanan di Bangkok itu adalah satu persaingan yang hebat di peringkat Asia dan Azeem sudah beri yang terbaik dalam tempoh enam bulan dia meneruskan pengajian, latihan serta kehidupan baharu di AS.

"Tapi realitinya memang proses ini memerlukan kesabaran yang tinggi dan sokongan dari semua pihak yang tidak berbelah bagi," katanya.

Ia adalah pertandingan peringkat antarabangsa pertama Azeem bersaing dengan pelari senior dan pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu masih konsisten apabila merekodkan 10.25s untuk berada di kedudukan kelima.

Malah Fahmi yakin Azeem mampu untuk diperbaiki menjelang Sukan Asia di Hangzhou, China September ini.

Terdahulu pada aksi peringkat akhir Azeem terlepas kedudukan keempat menerusi penentuan photo-finish dengan raja pecut Qatar, Femi Ogunode yang pernah memegang rekod Asia menerusi catatan 9.91s.

Pingat emas 100m dimenangi pelari Jepun, Hiroki Yanagita dengan masa 10.02s, manakala perak menjadi milik Abdullah Abkar Mohamed dari Arab Saudi (10.19s) dan gangsa pula diraih atlet Iran, Hassan Taftian (10.23).

Kali terakhir wakil negara ke final 100m Kejohanan Asia melalui Khairul Hafiz Jantan pada edisi 2017 di Bhubaneswar, India tetapi penyertaannya dibatalkan kerana false start.

Sebagai rekod, legenda olahraga, Watson Nyambek kekal satu-satunya pelari pecut negara berjaya meraih pingat di pentas Kejohanan Asia selepas memenangi perak edisi 1998 di Fukuoka, Jepun.

Disiarkan pada: July 18, 2023 @ 4:02pm
d