Sukan Lain

Grace optimis sumbang pingat di Sukan Asia

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Penyertaan di dua kejohanan besar iaitu Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand selain Kejohanan Universiti Dunia Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu di China baru-baru ini memberi pengajaran berguna buat atlet baling tukul besi wanita negara, Grace Wong.

Biarpun gagal meraih sebarang pingat, namun Grace mengakui ia pengalaman berguna buat dirinya terutama di Kejohanan Olahraga Asia yang mana dia beraksi dalam keadaan cuaca hujan lebat.

"Sebelum bermula cuaca panas. Masa saingan nak bermula tiba-tiba hujan lebih. Terpaksa tunggu 15 minit. Jadi ia mengganggu fokus saya.

"Tapi Beraksi dalam keadaan cuaca sebegitu bagus untuk saya. Walaupun ia mengganggu rentak saya tapi saya belajar cara untuk atasinya.

"Bagaimana cara untuk menangani situasi itu sekiranya ia berlaku sekali lagi di Sukan Asia nanti kerana bukan setiap kali pertandingan cuaca akan baik saja," katanya.

Menetapkan sasaran untuk memperbaharui rekod kebangsaan miliknya iaitu 62.48 meter (m) di temasya Sukan Asia, atlet kelahiran Sarawak itu mengakui bukan satu yang mustahil untuk menghadiahkan pingat.

"Apa yang penting adalah terus menyokong saya. Sebab saya yakin kita mempunyai peluang untuk mendapatkan pingat kerana peluang itu ada," katanya.

Untuk rekod pemenang pingat emas dan perak dalam acara itu ketika Sukan Asia Palembang-Jakarta pada 2018 menjadi milik atlet China, masing-masing menerusi Luo Na 71.42m dan Wang Zheng 70.86m manakala atlet Jepun, Hitomi Katsuyama meraih gangsa (62.95m).

Grace hanya perlu mempertingkatkan lagi baling sejauh 0.47m untuk menyamai rekod baling pemenang pingat gangsa seterusnya menghidupkan peluang menyumbangkan pingat.

Disiarkan pada: August 29, 2023 @ 3:14pm
d