Sukan Lain

Cuba kekalkan pasukan kebangsaan

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Selepas memperoleh keputusan terpuji di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 terutama melalui Nur Aiman Rosli dan Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil, jurulatih skuad lebuh raya negara, Mohd Yusof Nasir membayangkan untuk mengekalkan skuad sama pada perlumbaan berprestij Asia itu tahun depan.

Menurut bekas pelumba kebangsaan itu, buat masa sekarang beliau tidak boleh bercakap soal masa depan skuad sedia ada yang turut dibarisi Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri, Zawawi Azman, Zulhelmi Zainal dan Muhsin Al Redha Misbah.

"Masa depan pasukan kebangsaan ini saya tidak boleh cakap, tapi saya akan membincangkan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengekalkan pasukan ini," katanya.

Ujar Yusof, beliau akan membawa keputusan LTdL 2023 membabitkan skuad kebangsaan di mesyuarat penting persatuan.

"Saya akan cuba lagi mengekalkan pasukan sama tahun depan, jika membuat persiapan dua hingga tiga bulan pun sudah bagus, apatah lagi dapat mengumpul serta melakukan persediaan dalam tempoh setahun.

"Apa pun saya memanjatkan syukur Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua pelumba serta krew yang membantu termasuk jurulatih, Amir Mustafa Rusli," katanya.

Bermula sejak peringkat pertama dari Kerteh ke Kuala Terengganu, anak buahnya sudah mempamerkan kesungguhan dengan Izzat Hilmi menduduki tempat kelima, ia disusuli dengan Aiman meraih tempat keenam di peringkat ketiga (Jeli-Baling) sekali gus dapat merampas Jersi Putih (Terbaik Asia).

Pada peringkat kelima pula pakar pendakian, Shaiful Adlan menjadi pelumba Malaysia pertama tiba di puncak Genting Highlands, diikuti dengan Izzat Hilmi berjaya meraih kedudukan kelima pada peringkat terakhir (Setia Alam ke Kuala Lumpur).

Kedudukan keseluruhan pelumba terbaik Asia pula menyaksikan Aiman menduduki tangga kelima, manakala Shaiful Adlan di tempat kesembilan.

Aiman juga berada dalam kedudukan 10 pelumba terbaik bagi perebutan Jersi Jingga (Raja Pecut) apabila berada di tangga ke-10 dengan meraih 14 mata.

Pasukan skuad kebangsaan juga berjaya menduduki tangga teratas pasukan terbaik keseluruhan di peringkat pertama sekali gus mengetepikan wakil WorldTeam EF Education-Easypost dan Astana Qazaqstan Team.

Disiarkan pada: October 2, 2023 @ 11:13pm
d