Sukan Lain

Pasangan baru kahwin juara Ironman Apac 2023

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pasangan Josh Amberger dan Ashleigh Gentle sudah pastinya tersenyum indah apabila mendapat 'hadiah perkahwinan' terbaik dengan bergelar juara Kejohanan Ironman 70.3 Asia-Pacific (Apac) 2023.

Pasangan terbabit masing-masing meraih kejuaraan dalam kategori lelaki dan wanita pada edisi ke-23 kejohanan itu.

Amberger mempamerkan aksi menakjubkan apabila menguasai acara berbasikal sejauh 90 kilometer (km) melalui kawasan berbukit dan berliku di sekitar Langkawi sebelum turut cemerlang dalam acara larian sejauh 21km dalam tempoh 3 jam 50 minit 47 saat.

"Saya mula berlari tetapi ketinggalan pada peringkat awal namun kembali menguasai di 11 atau 12 kilometer terakhir.

"Ia satu perasaan yang menakjubkan untuk memenangi Kejohanan Ironman Apac 70.3 di Langkawi. Saya sangat gembira untuk memenanginya," kata penyandang juara Ironman 70.3 sebanyak 11 kali itu.

Sementara itu, Ashleigh pula melengkapkan 'kisah dongeng' mereka apabila dia menamatkan saingan sebagai juara dengan masa 4:10:17s.

"Kemuncak bagi saya ialah melihat Amberger menang. Dia banyak membantu dalam kerjaya saya.

"Kami berkahwin tahun lalu tetapi dalam sukan triatlon sudah berada lebih sedekad dan berkongsi beberapa pengalaman hebat bersama. Dapat datang ke sini dan mengambil dua gelaran untuk kami ada satu perasaan yang cukup bagus," katanya.

Mengikut rekod, kejohanan terbabit menawarkan hadiah wang tunai RM354,562 selain turut menjadi medan kepada atlet bersaing meraih tempat ke Kejohanan Dunia VinFast Ironman 70.3 2024 di Taupo, New Zealand.

Disiarkan pada: October 7, 2023 @ 9:07pm
d