Sukan Lain

MOM sambut baik lima acara sukan baharu di sukan olimpik LA 2028

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyokong keputusan Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menambah lima sukan baharu yang akan dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata MOM mempunyai banyak sebab untuk berasa gembira dengan penambahan lima sukan tersebut terutamanya skuasy kerana sukan itu menjadi penyumbang pingat yang konsisten kepada kontinjen Malaysia di pelbagai temasya sukan.

"Kami akan bersandarkan sokongan yang diberikan oleh penyertaan di Olimpik untuk memacu pertumbuhan skuasy. Cabaran ini adalah untuk menjadikan skuasy sebagai acara tetap dalam Sukan Olimpik pada masa depan," katanya.

Selain skuasy, kriket, flag football, lacrosse dan besbol-sofbol dicadangkan oleh penganjur LA 2028 untuk disenaraikan di temasya itu dan kesemuanya mendapat kelulusan daripada IOC.

Sementara itu, Norza, berkata Persekutuan Besbol Malaysia (BFM), Persatuan kriket Malaysia (MCA) ,Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dan Persatuan Sofbal Malaysia (SAM) aktif mempromosikan kemajuan sukan masing-masing di negara ini dan menjadi ahli gabungan MOM selama beberapa dekad.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam berkata penyenaraian skuasy di LA28 adalah langkah penting dalam mengangkat sukan itu ke tahap lebih tinggi.

"Sekarang kita perlu bersedia dengan teliti dan efektif supaya Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) dapat menganjurkan acara yang berjaya di Sukan Olimpik, sekali gus menarik perhatian negara-negara lain untuk terus berminat untuk menyenaraikan skuasy di edisi Sukan Olimpik seterusnya, misalnya di Australia," katanya.

Katanya, SRAM selepas ini akan merangka program jangka panjang sebagai persediaan menghadapi LA28 dengan harapan barisan pemain skuasy negara turut diserapkan ke dalam program 'Road To Gold (RTG) bagi membantu persediaan menghadapi temasya sukan tersebut.

Menurutnya, persatuan sukan induk itu sudah mempunyai rancangan jangka panjang untuk temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Oleh itu akan melakukan perkara sama untuk Sukan Olimpik dalam menyediakan barisan pemain agar tidak hanya mengambil bahagian tetapi juga mencapai kejayaan di podium," katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2023 @ 9:02pm
d