Sukan Lain

Tiga rekod baharu kejohanan tercipta hari kedua Olahraga MSSM

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Prestasi atlet pada hari kedua Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Kebangsaan Ke-63, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dilihat memberangsangkan apabila tiga rekod baharu kejohanan tercipta.

Penolong pengurus kejohanan, Andriani Tambeh berkata, tiga rekod baharu itu membabitkan acara 110 meter (m) lari berpagar lelaki bawah 18 yang dilakukan atlet dari Johor, Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau.

Katanya, Muhammad Hazriq turut memperbaharui rekod Sukan Sekolah-Sekolah Asean (ASG) selepas mencatat masa 13.46s pada peringkat separuh akhir berbanding rekod lama 13.66s.

"Dua lagi rekod baharu kejohanan dicipta menerusi acara 5000m jalan kaki lelaki dan lempar cakera perempuan bawah 15 tahun.

"Muhammad Fahim Haziq Mohd Hasrul dari Kuala Lumpur mencatat masa 23:53.28s mengatasi rekod lama 24:09.55s dalam acara jalan kaki 5000m.

"Manakala atlet dari Selangor, Nur Aina Aleefa Zukli mencipta rekod baharu lempar cakera dengan balingan 40.06m mengatasi rekod lama 38.75m.

"Secara keseluruhan prestasi atlet hari ini begitu memberangsangkan," katanya.

Sementara itu, Andriani berkata, atlet Negeri Sembilan juga turut cemerlang apabila meraih dua pingat emas.

Menurutnya, kedua-dua pingat emas itu diraih dalam acara 400 meter (m) menerusi Ahmad Zaid Abas yang mencatat masa 52.28s untuk mengenepikan pencabar, Zachary Hashym Arif Jones (Selangor - 52.38s) dan Jendrryson Takius (Sabah - 52.57s).

Disiarkan pada: October 16, 2023 @ 9:08pm
d