Sukan Lain

Natasha mahu perbaiki catatan di hari terakhir

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pemain golf profesional negara, Natasha Andrea Oon optimis mampu melakukan lebih baik pada hari terakhir Kejohanan Maybank 2023 yang akan berlangsung esok.

Walaupun persembahannya pada hari ketiga boleh dikatakan suram, namun dia bersedia untuk memperbaikinya supaya dapat menutup kejohanan itu dengan kejayaan positif.

Natasha berkata, persembahan pada hari ini kurang memuaskan apabila melakukan double bogey di lubang keempat dan bogey di lubang ke-18 termasuk dua birdie menyaksikan dia terpaksa berpuas hati dengan 73 pukulan untuk jumlah keseluruhan 214 pukulan, dua bawah par.

"Saya boleh katakan hari ini permainan saya 'super weird' kerana bermula dengan goyah dan tidak menjadi, tapi saya sudah menjangkakan hari seperti ini pastikan akan berlaku.

"Pukulan saya juga hari ini serba tidak menjadi dan selepas melakukan double bogey, saya tidak terlalu fikirkan dan teruskan bermain seperti biasa dan dapat melakukan dua birdie berturut-turut," katanya.

Berikutan persembahan kurang menjadi pada hari ini menyebabkan Natasha terpaksa akur dengan catatan satu atas par biarpun banyak pemain memperoleh skor rendah.

"Esok saya akan turun tanpa sebarang jangkaan tinggi jadi saya akan cuba melakukan yang terbaik bagi menghargai Maybank atas penganjuran kejohanan yang cukup hebat ini," katanya.

Menamatkan permainan pada hari ketiga, Natasha kekal berada di atas berbanding empat lagi pemain Malaysia yang bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik di tempat sendiri.

Disiarkan pada: October 28, 2023 @ 8:11pm
d