Sukan Lain

Perak juara Piala Tun Ali 2023

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Perak muncul juara Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada aksi final di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bukit Serindit, di sini, malam tadi.

Perak yang diperkuat tekong import kelahiran Thailand, Jakkrit Thinbangbon serta dua pemain kebangsaan Muhammad Mohd Noraizat Mohd Nordin (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) bagaimanapun tewas 24-25 pada set pertama.

Namun mereka bangkit pada set kedua mengatasi lawan 21-7 untuk mengheret aksi ke tie-break bagi penentuan juara buat edisi kedua kejohanan berpestij yang disertai 23 pasukan terbabit.

Walaupun mendapat sokongan gemuruh daripada penyokong Negeri Sembilan yang hadir namun skuad yang dibarisi Muhammad Haziq Hairl Nizam (tekong) Muhamad Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) dan Zuleffendi Sumari (kiri) gagal untuk terus memberi tekanan kepada Perak seperti set pertama selepas tewas 13-21 pada set penentuan.

Selaku juara, Perak meraih RM10,000 bersama piala pusingan dan iringan sementara Negeri Sembilan membawa pulang RM5,000 dan tempat ketiga bersama milik Johor dan Kuala Lumpur dengan masing-masing meraih RM3,000.

Mengulas kejayaan itu, jurulatih Perak, Mohd Azafril Mohd Anuar turut bangga dengan persembahan terbaik sepenjang kejohanan walaupun cuba dicabar hebat semua lawan terutama Negeri Sembilan di final.

Sementara itu, tekong terbaik pula menjadi milik Mohd Haziq Hairul Nizam (NS), apit kanan terbaik Mohd Noraizat Mohd Nordin dari Perak dan rakannya Aidil Aiman apit kiri terbaik kejohanan.

Dalam acara bergu pula PDRM muncul juara buat kali pertama selepas mengatasi kelab Thailand, Phitsanulok TC 21-23, 21-19 dan 21-15 dalam aksi sengit dan mendebarkan.

Disiarkan pada: November 19, 2023 @ 9:44pm
d