Sukan Lain

Hannah terbuka temui mana-mana atlet layak Olimpik

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan pihaknya sentiasa membuka pintu untuk bertemu dengan mana-mana atlet terutama yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024, termasuk pelumba berbasikal lebuh raya wanita, Nur Aisyah Mohammad Zubir.

"Pintu kita sentiasa terbuka dan semua persatuan sukan tahu mereka ada akses kepada MSN (Majlis Sukan Negara).

"Cuma sukar untuk saya respons setiap kali seorang demi seorang atlet layak ke Olimpik, kerana perjalanan (kelayakan) sedang berjalan. Tapi memang kita sebaik mungkin, kalau kita ada peluang, kita akan pergi berjumpa," kata Hannah dalam sidang media selepas Majlis Perundingan Belia Negara, di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) hari ini.

Aisyah, 26, hari ini diumumkan sebagai wakil pelumba berbasikal lebuh raya wanita pertama negara yang akan beraksi dan menggalas cabaran dalam temasya berkenaan.

Pemilihannya itu dibuat berdasarkan kedudukan mata yang diraihnya paling tinggi berbanding tiga pelumba lain yang turut disenaraikan iaitu Phi Kun Pan, Siti Nur Adibah Akma dan Yeong Zhen Yi.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Hannah berkata mana-mana atlet yang layak ke Olimpik perlu memahami proses pemilihan Program Road to Gold (RTG) kerana perkara itu saja belum mencukupi untuk mereka terpilih ekoran perlu mempunyai ranking 10 terbaik dunia.

Dalam pada itu, mengenai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Hannah berkata, ia adalah perkara paling asas untuk melindungi atlet.

"Selepas saya jawab dalam parlimen dan kita mahu sediakan kontrak yang mempunyai kebajikan seperti KWSP dan Perkeso bagi atlet yang terbabit dalam program podium.

"Kita mulakan dengan program podium dan ini akan berjalan Januari 2024. Makulamat terperinci Majlis Sukan Negara sedang teliti dengan KWSP dan Perkeso dan sesi libat urus berjalan semalam.

"Saya percaya kita komited, kita nak Januari nanti perlindungan ini bermula untuk atlet podium kita. Saya gembira melihat dan mendengar, maklum balas atlet di media sosial, ini adalah 'single reform' yang kita mahukan selama ini.

"Saya harap dengan adanya penambahbaikan ini, atlet kita tahu kerajaan sayang mereka, kita hendak lindungi mereka dan dengan adanya perlindungan ini, mereka boleh pergi bertanding, mereka tahu kerajaan jaga mereka, negara jaga mereka, jadi mereka akan beri yang terbaik," katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2023 @ 6:02pm
d