Sukan Lain

Iskandar bimbing skuad sepak takraw Pahang

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Pengalaman luas menjadi kelebihan buat bekas pemain sepak takraw kebangsaan, Iskandar Arshad dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan Pahang.

Tugas lain digalas bekas 'killer' kebangsaan itu, dia turut terbabit dalam program pembangunan sukan berkenaan diperingkat remaja sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

Menurut Iskandar, tumpuan utama kini lebih kepada membentuk pasukan yang berkesan bagi menghadapi saingan Sukma di Sarawak tahun depan membabitkan pasukan lelaki dan perempuan.

Katanya, pemilihan pemain Sukma telah dilakukan akhir tahun lalu, seramai 31 pemain lelaki dan 14 pemain perempuan menyertai sesi pemilihan berkenaan yang diadakan di Dewan Majlis Sukan Pahang (MSP).

"Saya juga diberi tugas membentuk pasukan senior Pahang bagi menghadapi saingan peringatan kebangsaan, kerjasama dengan Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSTNP) diharap dapat meningkatkan lagi kemajuan sukan sepak takraw di Pahang.

"Program pembangunan sukan sepak takraw yang diatur diharap mencetuskan kejayaan diperingkat kebangsaan terutama dipentas Sukma.

"Misi Pahang pada Sukma tahun depan ialah membawa pulang pingat, dengan kesungguhan barisan pemain yang ada saya berharap impian meraih kejayaan menjadi kenyataan," katanya, di sini hari ini.

Disiarkan pada: December 1, 2023 @ 7:32pm
d