Sukan Lain

Hoe Yean intai peluang lakar kejayaan di Doha

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Jaguh renang negara, Khiew Hoe Yean berazam untuk berusaha keras dan melakukan yang terbaik pada Kejohanan Akuatik Dunia 2024 di Doha, Qatar yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 18 Februari tahun depan.

Berbaki kurang dua bulan menjelang kejohanan berkenaan, Hoe Yean berikrar menjadikan pertemuan di Doha itu, batu loncatan buatnya layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

"Saya cuba melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Paris sejak awal tahun ini, malangnya saya tidak berjaya. Sudah pasti saya akan mencuba sekali lagi pada Kejohanan Akuatik Dunia nanti," katanya kepada Bernama.

Hoe Yean dijangka beraksi pada acara kegemarannya iaitu 400 meter gaya bebas lelaki di Aspire Dome dan perlu berenang di bawah 3 minit 46.78 saat (s), masa kelayakan Olimpik bagi acara itu.

Sekiranya beliau gagal berbuat demikian di Doha, Hoe Yean berkata beliau akan tetap mencuba untuk menempah tiket, sekali gus membuat penampilan sulung di Paris 2024, menerusi pertandingan lain sebelum kelayakan Olimpik berakhir pada 23 Jun.

Atlet berusia 21 tahun itu juga berhasrat untuk memadam catatan peribadi terbaiknya iaitu 3:48.72s, yang juga rekod kebangsaan dilakar pada Kejohanan Dunia 2022 di Budapest, Hungary.

"Saya mahu memecahkan rekod peribadi terbaik kerana merasakan saya perlu tahap lain untuk berjaya. Saya telah bekerja keras dalam semua perkara untuk memperbaiki diri seperti teknik dan catatan masa (dalam latihan)," katanya.

Dalam pada itu, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu berkata beliau sudah bangkit daripada kekecewaan ketika Sukan Asia Hangzhou 2022 apabila ketinggalan hanya beberapa saat untuk merangkul pingat gangsa pada pusingan akhir.

Pelajar bidang sains komputer di UCSI University itu menamatkan perlumbaan di tempat keempat, di belakang musuhnya dari Vietnam, Nguyen Huy Hoang yang merekodkan 3:49.16s, manakala Kim Woo-min dari Korea Selatan meraih pingat emas selepas mencatat 3:44.36s, dan Pan Zhanle dari China membawa pulang perak dengan 3:48.81s.

Hoe Yean berkata beliau kini dalam prestasi yang jauh lebih baik selepas kembali daripada membuat penampilan pertama pada Sukan Asia itu September lalu.

Baru-baru ini, Hoe Yean mengukuhkan statusnya sebagai satu daripada prospek terbaik Malaysia dengan memecahkan rekod kebangsaan 1,500m gaya bebas lelaki pada Kejohanan Queensland di Australia.

Hoe Yean yang muncul sebagai kedua terbaik pada final, melakar 15:21.92s untuk memadamkan catatan terdahulu 15:23.61s yang direkodkan Jeffry Ong pada 1991.

Disiarkan pada: December 22, 2023 @ 7:13pm
d