Sukan Lain

Tiupan angin kuat hangatkan RLIR 2024

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Ramalan berlaku tiupan angin kuat bakal menghangatkan Regatta Diraja Antarabangsa Langkawi (RLIR) 2024 yang dijadual membuka tirainya di perairan Langkawi, esok.

Pengarah Eksekutif Kelab Kapal Layar Diraja Langkawi (RLYC), Azlan Abdullah berkata, fenomena positif cuaca itu dapat dilihat bermula sejak awal minggu lalu.

"Kita harap perkembangan cuaca yang baik dengan ramalan tiupan angin kuat akan berterusan bagi membolehkan peserta memberi saingan yang lebih mencabar berbanding edisi sebelum ini.

"Pernah terjadi dalam beberapa kejohanan lalu, tiupan angin kurang memaksa peserta menunggu hampir lima jam sebelum penganjur membatalkan perlumbaan pada hari berkenaan," katanya ketika ditemui di RLYC di sini.

Pada edisi ke-20 kali ini, beliau berkata, sebanyak 33 bot membabitkan kira-kira 250 pelayar dari seluruh dunia bakal berentap merebut gelaran dalam tujuh kelas dipertandingkan mulai esok hingga Sabtu ini.

"Regatta anjuran RLYC kali ini berjaya menarik penyertaan pasukan dari Thailand, Denmark, United Kongdom, Australia, Singapura, Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong, New Zealand, China, Vietnam dan tuan rumah, Malaysia.

"Paling istimewa, pasukan terbaik dengan semangat kesukanan sama ada di darat dan di air akan menerima 'Tunku Abdullah Sportmanship Award'," katanya.

Kejohanan tahunan berprestij itu mempertandingkan tujuh kelas perlumbaan iaitu Racing, IRC1, IRC2, Club Class, Super Boats, Multihull, Ocean Rover/White Sail.

Disiarkan pada: January 15, 2024 @ 6:39pm
d