Sukan Lain

Witchcraft tunjuk belang hari pertama RLIR 2024

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Pasukan Witchcraft diketuai Nick Burns mempamerkan prestasi yang positif, sekali gus mendahului kelas Racing pada hari pertama kejohanan Regatta Diraja Antarabangsa Langkawi (RLIR) 2024 di sini, hari ini.

Dua pasukan tempatan yang turut bersaing bagi kelas sama iaitu The Next FactorRolf dari Kelab Perahu Layar Diraja Selangor (RSYC) dan Uranus mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengisi tempat kedua dan ketiga.

Bagi kelas IRC1, Cha Chan dari Jepun diketuai Kazuki Kihara unggul di tempat pertama, mengatasi dua pasukan tempatan Mata Hari (Vincent Chan) dan Endeavour of Whitby (Stuart Williamson) di tempat kedua dan ketiga.

The Blue Angel pimpinan Jeremy Camps dan tidak asing dalam sukan pelayaran negara menduduki tempat pertama kelas IRC2, mengatasi Wind of Change (Sergei Musikhin) dan VG Offshore (Ramasamy Menon) dari RSYC.

Dua pasukan mewakili Universiti Malaysia Terengganu (UMT) iaitu UMT1 dan UMT2 masing-masing masih bergelut untuk melonjak kedudukan daripada tempat ketiga dan kelima dalam kelas Sportsboats ketika ini.

Pengarah Eksekutif Kelab Kapal Layar Diraja Langkawi (RLYC), Azlan Abdullah, berkata tiupan angin yang kuat antara 10 hingga 15 knot membantu memeriahkan perlumbaan hari pertama.

"Kita berharap keadaan cuaca ini akan berterusan pada hari kedua esok dan seterusnya hingga kejohanan tamat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pada edisi ke-20 kali ini, sebanyak 33 bot membabitkan 250 pelayar dari seluruh dunia berentap merebut gelaran dalam tujuh kelas dipertandingkan iaitu Racing, IRC1, IRC2, Club Class, Super Boats, Multihull, Ocean Rover/White Sail.

Disiarkan pada: January 16, 2024 @ 5:44pm
d