Sukan Lain

Djokovic sekali lagi bertarung empat set

Oleh Reuters

Melbourne: Juara 10 kali Terbuka Australia, Novak Djokovic sekali lagi melepasi cabaran sengit dalam dua perlawanan untuk mara ke pusingan ketiga kejohanan, malam tadi.

Pada ketika perlawanan terikat 1-1, Djokovic bangkit memenangi set ketiga dengan mengatasi pemain kegemaran tempatan, Alexei Popyrin 6-3, 4-6, 7-6 (4), 6-3.

Pertarungan kali ini mengambil masa tiga jam dan 11 minit, selepas Djokovic memerlukan empat set dalam aksi lebih empat jam untuk menyingkirkan Dino Prizmic di pusingan pertama.

"Saya belum mencapai tahap permainan terbaik dan masih tercari-cari prestasi diingini," kata Djokovic, 36.

"Pada pusingan awal, biasanya anda berdepan pemain yang tiada apa dirisaukan jika tewas dan mereka biasanya masuk ke gelanggang dengan aksi terbaik, permainan terbaik dan saya fikir lawan di pusingan pertama dan kedua adalah pemain tenis yang bagus.

"Saya akhirnya menemui ruang untuk menang dalam empat set. Di akhirnya, itu yang penting dan diharapkan saya mampu terus meningkat pada baki saingan."

Sama seperti ketika berdepan Prizmic yang juga pemain remaja Croatia berusia 18 tahun, Djokovic bergelut untuk mengatasi Popyrin, 24.

Bagaimanapun, Djokovic meneruskan rentak cemerlang menerusi 30 kemenangan berturut-turut pada perlawanan di Terbuka Australia.

Di pusingan ketiga, pilihan utama dari Serbia itu akan berdepan pilihan ke-30, Tomas Martin Etcheverry dari Argentina yang menewaskan pemain Perancis, Gael Monfils, 6-4, 6-4, 6-4.

Pemain pilihan kelima, Andrey Rublev dari Rusia; pilihan ketujuh, Stefanos Tsitsipas dari Greece dan pilihan ke-10, Alex de Minaur dari Australia turut mara ke pusingan ketiga.

Disiarkan pada: January 18, 2024 @ 8:42am
d