Sukan Lain

Zhanle pecah rekod dunia 100m gaya bebas

Oleh AFP

Doha: Atlet remaja China, Pan Zhanle memecahkan rekod dunia dalam acara 100 meter (m) gaya bebas lelaki dengan catatan 46.80 saat (s) di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha.

Zhanle turut membantu pasukannya dalam acara 4x100m gaya bebas bersama-sama Ji Xinjie, Zhang Zhanshuo dan Wang Haoyu untuk menghadiahkan China pingat emas dengan catatan masa 3 minit 11:08 saat.

Atlet berusia 19 tahun mencatatkan 0.06s lebih pantas daripada rekod sebelumnya iaitu 46.86s yang dilakukan oleh perenang Romania, David Popovici ketika Kejohanan Eropah di Rom pada Ogos 2022.

"Ya, ia adalah masa yang luar biasa. Saya mempercayai rakan saya dan kami melakukan yang terbaik," kata Zhanle.

"Saya berkata kepada diri saya 'berenang dengan pantas'. Saya terkejut apabila melihat masa, saya tidak menyangka untuk memecahkan rekod dunia sekarang, saya mahu mengekalkannya untuk Sukan Olimpik Paris."

Itali meraih perak, 3:12.08s dan gangsa milik Amerika Syarikat, 3:12.29.

Zhanle sebelum ini meraih perak dalam acara rampaian 4x100m di Fukuoka, Jepun.

Dia juga meraih tiga emas di Sukan Asia, termasuk 100m. Catatan masa terbaik peribadinya sebelum ini ialah 46.97s, menjadikannya perenang kelima terpantas di dunia sebelum tiba di Qatar.

Disiarkan pada: February 12, 2024 @ 10:07am
d