Sukan Lain

MAS pertikai dakwaan Pandelela

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: "Manusia bila gagal bagi alasan, tolak kiri kanan, ini orang semua tidak profesional tetapi mahu ambil gaji."

Perkara itu disampaikan Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low, berkenaan dakwaan penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong kononnya wujud 'entiti' mengganggu mereka sehingga gagal beraksi cemerlang di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu.

"Itu anda perlu pergi tanya dia (berkenaan entiti). Setahu saya sebelum kejohanan kita dengannya setiap kali berjumpa, bermesyuarat dan bincang, tanya ada masalah atau tidak. Tidak ada yang hendak cakap," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Ujar Andy, semua itu adalah alasan selepas dan sebagai manusia sudah tentu cuba memusingkan fakta serta keadaan sebenar.

"Dia harus cakap minta maaf Malaysia kali ini saya gagal, habis cerita. Manusia memang ada yang gagal tidak akan tiap-tiap hari sempurna 100 peratus tidak gagal.

"Mesti kita hormati (alasan Pandelela) kita akan duduk dengannya (berbincang) seawal mungkin panggil dia kita mahu tahu dulu apa masalah itu," kata Andy.

Ditanya mengenai hasrat Pandelela yang masih belum bersara dan meneruskan karier, beliau berkata persatuan tetap menghormati pendirian itu.

"Tidak ada masalah itu hak rakyat, anda tidak mahu bersara mahu 'loncat' sampai 60 tahun pun saya terima tetapi bila ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan MAS anda tidak boleh capai, anda tahu pintu itu di mana.

"Tak perlu kita halau, kita halau kata orang tak elok, dia pun sudah banyak naikkan nama Malaysia tetapi bila anda bukan lagi dalam keadaan seperti dulu, harus sedar diri, kalau dia mahu cakap macam itu kita guna KPI, setiap tahun anda mesti capai KPI, kalau tidak boleh capai tidak boleh salahkan kami," katanya.

Tambahnya, MAS akan suruh pihak yang terbabit membuat laporan untuk mereka duduk bersama melakukan bedah siasat mengenai kegagalan skuad terjun di Doha.

"Kita akan berbincang sekali mengenai bagaimana untuk memperbaiki (prestasi) bersama MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan barisan jurulatih. Sekurang-kurangnya tiga hingga lima hari (mesyuarat akan diadakan) bagi masa jurulatih buat sedikit laporan.

"Kita juga perlu lihat sama ada pihak MSN mempunyai waktu senggang, kena ikut tarikh mereka. Minimum lima hingga tujuh hari, paling lewat Jumaat minggu depan. Setakat ini ia belum membabitkan menteri (Hannah Yeoh). Hanya mesyuarat awal di peringkat dalaman," katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2024 @ 1:54pm
d