Sukan Lain

Malaysia tuai 4 emas di Kejohanan Berbasikal Trek Para Asia 2024

Oleh Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Kem berbasikal negara menutup hari keempat dengan memenangi empat pingat emas dalam Kejohanan Berbasikal Trek Para Asia 2024 di New Delhi, India hari ini.

Pelumba basikal trek para negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin mengutip emas pertama buat Malaysia apabila berjaya memenangi acara kejar mengejar individu 3 kilometer (km) lelaki Cycle 1 (C1) dengan catatan masa 4:04saat (s) sebelum Muhammad Adi Raimie Amizazahan menambah emas kedua dalam acara yang sama bagi C3 (3:55s).

Bagi acara kejar mengejar individu lelaki 4 km, dua pelumba negara menamatkan perlumbaan di kedudukan podium menerusi Zuhairie Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hafiz Jamali masing-masing meraih pingat perak serta gangsa untuk C5.

Selain itu, pelumba trek para Malaysia terus membuktikan bahawa mereka antara yang terbaik di Asia apabila menambah dua lagi emas dalam acara kejar mengejar individu berbasikal tandem lelaki dan wanita.

Skrip sama terjadi seperti sebelum ini dalam acara 1 km ujian masa lelaki apabila Mohd Khairul Hazwan Wahab yang dibantu jurumudi Muhd Arfy Qhairant Amran meraih emas menewaskan rakan senegara Ahmad Ahlami Mohamad yang dibantu Muhammad Khairul Adha Rasol untuk berpuas hati sekali lagi pingat perak.

Sementara Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais bersama jurumudi Farina Shawati Mohd Adnan terus menuai emas manakala Nur Suraiya Muhammad Zamri bersama jurumudi Nurul Suhada Zainal pula menamatkan perlumbaan di tangga ketiga untuk meraih gangsa.

Disiarkan pada: February 24, 2024 @ 11:29pm
d