Sukan Lain

KBS tunggu laporan lengkap kes kematian Wan Muhammad Haikal

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini menunggu laporan lengkap susulan kes kematian atlet silat Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 21, yang meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height.

Allahyarham disahkan meninggal dunia selepas hampir 12 jam menerima rawatan di kejohanan yang disertai dan ia adalah tragedi yang menyedihkan dan kali pertama dalam sejarah pertandingan sukan silat.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli ketika ditemui di sini bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung isu berkenaan namun berharap kejadian yang berlaku menjadi tanda atas betapa pentingnya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kod sukan selamat dalam mana-mana penganjuran sukan.

"Saya ucapkan takziah kepada keluarga dan ini sebagai penganjuran untuk kita sentiasa beringat dan apakah langkah patut dilakukan dalam penganjuran sebarang kejohanan.

"Penganjur iaitu Pesaka (Persekutuan Silat Kebangsaan) dan Pesaka Negeri Sembilan akan mengeluarkan laporan penuh mengenai perkara ini.

"Buat ketika ini bagi pihak KBS sendiri tidak boleh memberi komen lanjut kerana menghormati perasaan keluarga," katanya.

Adam ketika ditemui pada Perhimpunan Atlet Podium Fasa Satu berkata, penganjuran sukan seharusnya menjadi ruang selamat yang terus dipelihara.

Kod sukan selamat bukan saja untuk melindungi atlet tetapi juga dari sudut kejohanan kerana sukan adalah bidang berisiko tinggi dan mekanisma perlindungan perlu diwujudkan untuk semua pihak.

Terdahulu Allahyarham Wan Muhammad Haikal meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, selepas tidak sedarkan diri ketika pertandingan prapemilihan Sukan Malaysia (Sukma) di Seremban petang semalam.

Bagaimanapun Presiden Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin semalam berkata, kematian Allahyarham bukan berpunca daripada sepakan lawan seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Disiarkan pada: March 4, 2024 @ 12:28pm
d