Sukan Lain

Atlet silat maut: Penganjur patuh SOP, peraturan

Oleh Helmi Talkah

Kuala Lumpur: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) menegaskan penganjur kejohanan pra pemilihan Sukan Malaysia (Sukma) di Seremban, Negeri Sembilan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ditetapkan semua badan berkaitan termasuklah Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat).

Setiausaha Agung Pesaka, Bibi Aishah Golbal Shah berkata, tidak timbul isu penganjur iaitu Pesaka Negeri Sembilan dan Majlis Sukan Negeri Sembilan tidak mengikut SOP atau peraturan susulan kematian pesilat dari Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin pada kejohanan berkenaan yang berlangsung di Dewan Komuniti Taman Coral Heights, Sikamat, semalam.

"Pertandingan itu tidak melanggar SOP atau peraturan ditetapkan termasuklah daripada badan silat antarabangsa. Namun, itulah, malang tidak berbau dan kita pun tidak jangka dia akan meninggal dunia dalam keadaan seperti itu," katanya.

Wan Muhammad Haikal, 21, rebah dan tidak sedarkan diri sebaik terjatuh ketika pertandingan pra pemilihan Sukma sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban.

Mengulas lanjut, Bibi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk memperketatkan syarat kepada atlet bagi menyertai satu-satu pertandingan apabila mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan yang lebih menyeluruh berbanding sekarang.

"Dari dulu lagi semua atlet yang mahu bertanding perlu mendapat surat kebenaran doktor sebelum dibenarkan menyertai pertandingan.

"Atlet memang perlu buat pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah dan jantung mereka, tetapi tidaklah secara terperinci sehingga perlu melakukan ujian imbasan X-ray.

"Namun, bagi mengelak kejadian sama berulang, kita mungkin memperketatkan lagi pemeriksaan kesihatan itu apabila ia perlu dilakukan dengan lebih menyeluruh," katanya yang turut berada di tempat kejadian ketika insiden malang menimpa Wan Muhammad Haikal itu berlaku.

Dalam pada itu, Bibi turut menyangkal dakwaan Wan Muhammad Haikal meninggal dunia disebabkan kepalanya ditendang oleh lawannya.

"Kami sudah melihat dengan terperinci rakaman video perlawanan yang menunjukkan atlet itu (Wan Muhammad Haikal) cuba menjatuhkan lawannya dengan kaedah guntingan, tetapi dia jatuh dan kepalanya terhentak di lantai. Dia bangun semula tetapi rebah.

"Ketika di gelanggang itu, dia didapati tidak bernafas. Kami dan pegawai perubatan cuba memberi bantuan pernafasan hingga ambulans datang untuk menghantarnya ke hospital," katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2024 @ 10:15pm
d