Sukan Lain

Wilayah Persekutuan sasar lima teratas Sukma Sarawak

Oleh Amirul Fazli Zulkafli

Putrajaya: Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Wilayah Persekutuan menyasarkan kedudukan kelima teratas di Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak, dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau mahu kontinjen Wilayah Persekutuan memperbaiki pencapaian pada 2022 ketika menjadi tuan rumah.

Beliau berkata, Wilayah Persekutuan akan menghantar atlet yang benar-benar mampu menyumbang pingat dan tidak akan menghantar kontinjen dalam jumlah besar.

"Saya mahukan semua badan sukan untuk mempersiapkan atlet masing-masing untuk berada di prestasi terbaik kerana hanya yang terbaik dan berpotensi untuk menghasilkan pingat sahaja akan dipilih ke Sukma Sarawak nanti.

"Biarpun cabaran membabitkan isu logistik dan peruntukan kewangan agak terhad, saya memohon komitmen dan kerjasama semua untuk memastikan setiap atlet kita ke Sukma nanti melakukan yang terbaik demi Wilayah Persekutuan," katanya dalam majlis penyerahan watikah pengurus Sukma dan Bantuan Madani kepada badan sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Wilayah Persekutuan menerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menyampaikan Bantuan Madani bagi tahun 2024 berjumlah RM282,000 kepada 86 badan sukan merangkumi 48 badan sukan di Kuala Lumpur dan 38 badan sukan di Putrajaya.

Dalam majlis sama, 47 pengurus pasukan turut menerima watikah pelantikan ke Sukma pada Ogos nanti.

Disiarkan pada: March 5, 2024 @ 7:46pm
d