Sukan Lain

Mata ranking diperkenal di Piala Dunia Istaf

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2024 di Kuala Lumpur, Mei depan menyaksikan setiap pasukan menyertai kejohanan itu bakal meraih mata ranking buat kali pertama.

Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf), Datuk Abdul Halim Kader berkata, langkah itu bagi menaikkan taraf sukan itu yang kini sedang dilobi ke pihak Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC).

"Ya, saya tahu setakat ini kita belum ada butiran ciri-ciri (mata) ranking yang akan diketengahkan dan kita akan ambil contoh daripada bola sepak, bola tampar atau sukan lain.

"Apapun sistem mata ranking tetap akan diperkenalkan di KL (Piala Dunia Istaf). Kalau kita katakan sebagai juara dunia dia akan dapat berapa mata, semua itu akan dikemaskini kemudian.

"Sebuah jawatankuasa bertindak akan dibentuk Istaf untuk memperkenalkan pengiraan mata dan bagaimana diimpliment di KL nanti," kata Abdul Halim dalam satu sesi temu bual, semalam.

Sementara itu, Abdul Halim menegaskan Piala Dunia Sepak Takraw Kuala Lumpur 2024 yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 26 Mei depan dijamin mutu pengadilan terbaik.

Katanya, selain barisan pengadil dari seluruh negara peserta dikenal pasti, pihaknya sudah mengumpul 20 hingga 30 pengadil bertauliah Malaysia untuk mengadili kejohanan terbabit.

"Kami akan mengambil pengadil dari seluruh negara yang boleh memberikan wakil terbaik, baik di peringkat Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) mahupun Istaf," katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2024 @ 5:43pm
d