Sukan Lain

Henjutan terakhir bantu Philipsen juara Milan-San Remo

Oleh AFP

San Remo: Jasper Philipsen memenangi perlumbaan Milan-San Remo dalam kemenangan yang perlu ditentukan melalui photo finish dengan menyaksikan dia mengatasi pelumba Australia, Michael Matthews dan Tadej Pogacar dalam perlumbaan Monumen pembukaan musim ini.

Philipsen dari Belgium menggunakan gerakan menolak basikalnya ke depan untuk menewaskan Matthews dengan pemenang dua kali Tour de France, Pogacar berjanji untuk kembali dan menang tahun depan.

Pakar pecut Alpecin-Deceuninck itu sentiasa menjadi pelumba yang perlu ditewaskan jika perlumbaan berakhir dengan penamat beramai-ramai.

Dia menyerbu ke garisan penamat dengan dua belas pelumba lain melintasi dalam satu saat antara satu sama lain selepas enam jam 14 minit 44 saat perlumbaan berlangsung.

Pelumba Belgium itu pantas memuji rakan sepasukannya Mathieu van der Poel, yang membuat pecutan awal untuknya dan bakal menjadi menjadi tumpuan di Jelajah Flanders dan Monumen Paris-Roubaix akan datang.

"Apa yang dilakukan oleh Mathieu pada hujung saingan adalah luar biasa. Saya sangat bangga dan gembira kerana kami berjaya beraksi sebagai satu pasukan," katanya.

Philipsen memenangi enam peringkat di Tour de France dan merangkul gelaran Raja Pecut dalam edisi Grand Tour paling penting tahun lalu dengan servis berterusan daripada Van der Poel yang mengagumkan.

"Ia adalah salah satu impian mana-mana penunggang basikal," kata Philipsen.

"Milan-San Remo mungkin satu-satunya Monumen yang boleh saya menangi.

"Saya mempunyai kaki yang sangat bagus dari awal... tetapi segala-galanya perlu berada pada tempatnya. Mathieu berada di sana dan melakukan kerja pasukan yang sangat besar."

Disiarkan pada: March 17, 2024 @ 11:23am
d