Sukan Lain

Hapizah lega 16 pemain Pahang lapor diri

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Jurulatih pasukan bola jaring Pahang, Hapizah Jaafar kini mampu menarik nafas lega apabila hampir semua 16 pemain bagi membentuk skuad emas yang akan bersaing pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak, September depan mula turun berlatih.

Sebelum ini usaha mengumpul pemain tidak dapat dilakukan disebabkan tidak mendapat pelepasan daripada universiti dan Sekolah Sukan Malaysia (SSM) tempat mereka belajar.

Menurut Hapizah, terdapat seorang pemain sedang belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan tiga pemain di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tiga pemain belajar di SSM Pahang, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (2) dan SSM Bukit Jalil (1).

Katanya, senarai 16 pemain yang akan membawa cabaran Tok Gajah telah diputuskan sebelum ini, namun terdapat dikalangan mereka gagal melapor diri sesi latihan pusat pasukan disebabkan tidak mendapat pelepasan.

"Sebagai jurulatih kebimbangan tidak dapat mengumpul pemain untuk mengikuti latihan pusat menjelang saingan Sukma Sarawak kini tidak lagi berlaku.

"Bermula minggu ini saya mula dapat membentuk pasukan Pahang yang akan memburu pingat emas Sukma Sarawak selepas gagal berbuat demikian pada Sukma 2022 Kuala Lumpur," katanya, di sini semalam.

Hapizah berkata, kini 16 pemain termasuk pemain kebangsaan, Nurul Anisha Mohammad Asri menjalani latihan setiap hari di Kompleks Majlis Sukan Pahang (MSP), latihan diadakan dua sesi petang dan malam.

Tambahnya lagi, latihan petang kira-kira dua jam lebih kepada corak atau taktikal permainan yang akan digunakan, malam pemain akan berada di gimnasium bagi menguatkan otot.

Beliau berkata, untuk membentuk semangat berpasukan yang berkesan kami berbuka puasa bersama setiap hari, pemain ternyata gembira serta berpuas hati dengan pendekatan yang adakan buat kali pertama.

"Lebih lama pemain berlatih secara bersama, lebih baik dalam usaha untuk membentuk persefahaman yang lebih baik dan berkesan.

"Saya sedang menyusun jadual sesi perlawanan persahabatan membabitkan pasukan tempatan dan luar Pahang yang akan bermula bulan depan," katanya yang yakin pemain dapat mempamerkan prestasi terbaik pada Sukma Sarawak.

Disiarkan pada: March 28, 2024 @ 9:22pm
d