Sukan Lain

'Tunggu keputusan Prabowo anjur Kejuaraan Silat Dunia'

Oleh Sukhairi Thani

Kuala Lumpur: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) masih menunggu status penganjuran Kejuaraan Silat Dunia 2024 selepas Melaka sebelum ini bersedia untuk kembali menjadi tuan rumah buat kali kedua berturut-turut.

Malaysia pernah mencipta sejarah penganjuran terbaik bagi edisi tahun lalu di Melaka dan ia diakui sendiri oleh Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat), Prabowo Subianto dan Melaka turut berada dalam radar untuk kembali menjadi tuan rumah pada tahun ini.

Begitupun, dengan Pilihanraya Presiden Indonesia sudah selesai selepas Prabowo mengesahkan kemenangan, Presiden Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, kejohanan mungkin mengikut jadual penganjuran lama iaitu di Jakarta pada penghujung tahun ini.

"Kita sedang menunggu kerana kita semua maklum Presiden Persilat, Prabowo sudah diisytiharkan sebagai Presiden Republik Indonesia yang kelapan dan dalam mesyuarat Persilat baru-baru ini, kita sedang menunggu untuk mengesahkan Kejuaraan Silat Dunia.

"Saya percaya kemungkinan besar kerana pemilihan Presiden Republik Indonesia ini tidak perlu dibuat kali kedua, jadi maknanya kalau kali kedua itu, ia akan mengadakan pengundian semula dan rakyat yang berada di Malaysia kena undi semula pada bulan Jun.

"Kerana keputusan itu disahkan hanya dengan satu pusingan, maka ada kemungkinan Kejuaraan Silat Dunia yang kita jadualkan pada tahun ini di Jakarta, Indonesia, akan diteruskan.

"Kejuaraan Silat Dunia, kalau kita masih ingat, apa yang disebut Prabowo sewaktu hadir pada perasmian dan penutup edisi lalu di Melaka, beliau menyatakan yang penganjuran di Melaka adalah yang terbaik dalam sejarah.

"Saya percaya dengan hari ini beliau sebagai Presiden Republik Indonesia yang baharu walaupun hanya berkuatkuasa pada Oktober nanti, beliau akan buat satu kejuaraan cukup tinggi dan di peringkat kita pula, kita akan bersedia apa juga keadaan sekali pun, pasukan akan buat persiapan dengan baik," kata Megat Zulkarnain.

Dalam pada itu, Megat turut memaklumkan Pesaka sedang berusaha untuk membawa kembali silat ke Sukan Asia selepas tidak dipertandingkan di Hangzhou, China tahun lalu apabila Malaysia bersedia untuk membantu Jepun yang bakal menjadi tuan rumah pada 2026 nanti, mempersiapkan pasukan mereka.

Disiarkan pada: March 30, 2024 @ 10:32pm
d