Sukan Lain

Zulfikri raih tempat ketiga

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Peringkat kelima Jelajah Thailand menyaksikan kelibat pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Zulfikri Zulkifli Muhammad Fahmi mengungguli saingan apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

MPC berjaya mencipta penamat luar biasa apabila dua lagi pelumbanya turut menguasai kelompok hadapan yang mana Muhammad Syawal Mazlin dan Muhammad Fahmi Khairul masing-masing berkedudukan tempat keempat dan kelima.

Pengurus Pasukan MPC, Sayuti Zahit meluahkan rasa bangga dengan prestasi yang dipamerkan barisan pelumba apabila menamatkan saingan di kelompok hadapan bersama peloton yang membuat pemecahan.

"Saya amat berbangga dengan ahli pasukan. Ini adalah era baharu sukan berbasikal di Malaysia dan mereka adalah masa depan sukan basikal negara," katanya.

Perlumbaan berkenaan turut menyaksikan Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil berjaya merangkul jersi hijau selaku pendahulu raja pecut.

Peringkat kelima yang berlangsung dalam keadaan cuaca panas itu menawarkan jarak laluan sejauh 156 kilometer itu dikuasai pelumba tuan rumah dari pasukan Grant Thornton Cycling Team (GTC), Nati Samansanti yang terlebih dahulu melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 24 minit 33 saat diikuti pelumba dari pasukan China Glory Continental (CGC) Yutao Shen di kedudukan kedua.

Nati dilihat mengetuai peloton membabitkan 21 pelumba yang membuat pemecahan menuju ke kilometer terakhir itu.

Disiarkan pada: April 5, 2024 @ 5:55pm
d