Sukan Lain

Umar buat persediaan rapi hadapi TOEFL

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pelari sensasi 400 meter (m) negara Umar Osman mahu segera menyelesaikan urusan untuk ke University Auburn, di Amerika Syarikat (AS).

Untuk itu dia perlu menduduki ujian bahasa Inggeris untuk pelajar asing, Test of English as a Foreign Language (TOEFL).

Pelari kelahiran Johor itu dijangka akan mengambil ujian berkenaan selepas Aidilfitri, iaitu selepas benar-benar yakin mampu menjawab dengan baik.

Katanya dia ketika ini sedang mempersiapkan diri untuk ujian berkenaan agar lebih yakin apabila menjawabnya.

"Saya akan menduduki ujian TOEFL dalam masa terdekat, tapi saya perlu berlatih dahulu supaya lebih yakin menjawabnya.

"Mungkin saya akan ambil ujian itu seminggu selepas hari raya," kata Umar, yang mengesahkan dia akan ke Universiti Auburn lebih awal dari jangkaan bulan Ogos.

Jika berjaya melepasi ujian berkenaan Umar dijangka akan berlepas ke AS untuk menyambung pelajarannya lebih awal.

"Kelulusan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) sudah lulus dua hari selepas tarikh kemasukan Januari lalu.

"Sekarang ini saya perlu lulus TOEFL, saya mahu benar-benar yakin sebelum duduki TOEFL ini kerana yurannya agak mahal.

"Saya boleh duduki ujian beberapa kali tetapi perlu membayar yuran yang mahal kerana menggunakan matawang dolar AS," ujarnya.

Berdasarkan semakan di internet, ujian TOEFL di Malaysia dikenakan bayaran AS$195 (RM926) setiap kali ujian diambil.

Januari lalu, Umar berkongsi berita dirinya terpaksa menangguhkan latihan dan pembelajaran di Universiti Auburn, berikutan kelewatan permohonannya diluluskan NCAA.

Untuk rekod, Umar kini memegang rekod kebangsaan dengan catatan 46.09 saat (s) di Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China Ogos tahun lalu.

Dia mengatasi rekod lama miliknya 46.33s yang di lakukan di Sukan Sea Kemboja.

"Saya perlu pergi awal ke Universiti Auburn untuk mulakan pengajian, selepas itu kembali ke Malaysia untuk mewakili Johor di Sukan Malaysia (Sukma).

"Setakat ini belum ada perancangan kejohanan antarabangsa yang akan saya sertai kerana masalah kecederaan pangkal peha belum pulih sepenuhnya," katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2024 @ 1:48pm
d