Sukan Lain

Nelly juara Chevron

Oleh AFP

Washington: Pemain nombor satu dunia Nelly Korda menyamakan rekod LPGA dengan lima kejuaraan berturut-turut selepas memenangi Kejohanan Chevron awal pagi tadi.

Ia trofi gelaran utama kedua dan ke-13 dalam karier jelajahnya.

Kemenangan ke atas pemain Sweden Maja Stark dengan dua pukulan membolehkan Nelly meraih lima gelaran dalam lima kejohanan sekali gus menyamai rekod LPGA milik pemain Amerika Syarikat (AS) Nancy Lopez pada 1978 dan Annika Sorenstam dari 2004-05.

Nelly berdepan saingan sengit tetapi kekal mendahului di Carlton Woods, Houston untuk mengaut AS$1.2 juta (RM5.7 juta) di kejohanan utama pertama wanita musim ini.

"Saya akhirnya boleh bernafas. Ia seperti aksi terpanjang dalam keseluruhan kehidupan saya tetapi sangat gembira menang akhirnya," kata Nelly.

Pemain AS berusia 25 tahun itu mencatat tiga bawah par 69 pada pusingan akhir untuk menamatkan perlawanan dengan 13 bawah 275 selepas 72 lubang.

Maja kedua dengan 277 diikuti pemain AS Lauren Coughlin dan pemain Kanada Brooke Henderson berkongsi tangga ketiga dengan 279 disusuli pemain Korea Ryu Hae-ran kelima (279).

Nelly anak bekas bintang tenis Czech Petr Korda, menang trofi utama pertamanya di Kejohanan PGA Wanita 2021 selain meraih pingat emas di Olimpik Tokyo.

Tahun ini dia menjuarai Kejohanan Drive On pada Januari lalu, Seri Pak dan Kejohanan FORD serta LPGA Match Play awal bulan ini.

Disiarkan pada: April 22, 2024 @ 9:23am
d