Permotoran

Mir mula rasa tekanan

Oleh AFP

Valencia: Joan Mir mengaku semakin merasai tekanan dalam usahanya untuk memenangi kejuaraan dunia MotoGP tanpa meraih sebarang kemenangan setakat ini.

Dengan berbaki tiga pusingan perlumbaan, masih ada 75 mata lagi mata maksimum menjadi rebutan.

Enam pelumba teratas hanya hanya dibezakan dengan 32 mata selepas musim ini terganggu akibat Covid-19 selain ketiadaan juara dunia enam kali, Marc Marquez yang mengalami kecederaan.

"Sudah pasti saya berasa sedikit tekanan kerana saingan menghampiri ke penghujung. Jadi setiap daripada kami merasai ia akan berakhir tak lama lagi," kata Mir yang beraksi bersama Suzuki dan kini hanya mempunyai kelebihan 14 mata berbanding seteru utama dari Yamaha SRT, Fabio Quartararo.

"Saya tidak hirau soal pelumba lain, sebaliknya hanya ambil berat mengenai diri sendiri. Saya mempunyai keserasian yang baik dengan jentera."

Mir mungkin tidak memenangi perlumbaan tetapi dia menunjukkan prestasi konsisten sepanjang musim ini dengan meraih penamat kedua sebanyak tiga kali dan podium ketiga juga sebanyak tiga kali daripada 11 perlumbaan.

Quartararo pula memenangi tiga perlumbaan namun pelumba pasukan satelit Yamaha itu gagal meraih keputusan terbaik pada dua perlumbaan di Aragon bulan lalu.

Dia menamatkan perlumbaan pertama di kedudukan ke-18 dan kemudian kelapan pada perlumbaan kedua.

Pada masa sama, Mir meraih podium ketiga di kedua-dua perlumbaan itu.

"Apa sahaja boleh berlaku, masih ada 75 mata lagi untuk direbut. Saya rasa semua pelumba mempunyai peluang untuk memenangi kejuaraan dunia," kata Quartararo.

Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 11:01am
d