Permotoran

Muzakkir tagih aksi Cub Prix

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pelumba Cub Prix negara, Muzakkir Muhammed yang sebelum ini didapati positif Covid-19 tetap bersemangat untuk meneruskan aksinya dalam saingan perlumbaan motosikal negara itu.

Dia yang kini disahkan pulih selepas 18 hari menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh mengakui biarpun jangkitan Covid-19 itu mengganggu rentak tunggangannya, dia tetap positif dan yakin masih lagi mampu memberi yang terbaik.

Katanya, dia masih ada kemahuan untuk mengejar podium dan itu bukan satu yang mustahil sekiranya perlumbaan Cub Prix diteruskan semula.

"Saya amat berharap kerajaan membenarkan kami untuk berlumba semula dan menghabiskan baki perlumbaan yang tinggal beberapa pusingan saja lagi.

"Saya rasa penganjur perlumbaan sudah membuat SOP (prosedur operasi standard) yang sangat baik untuk semua peserta dan tenaga kerja terbabit agar perlumbaan ini terhindar dari sebarang jangkitan Covid-19," katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya sepanjang 18 hari dikuarantin, Muzakkir berkata, ia adalah tempoh yang sukar dalam kerjayanya namun bersyukur kerana dalam tempoh dia dikuarantin itu, tiada sebarang perlumbaan dianjurkan.

"Insya-Allah apa yang terjadi kepada saya ini tidak pernah membuatkan saya patah semangat dan saya akan meneruskan latihan seperti biasa.

Malah tidak sabar untuk memulakan perlumbaan untuk memenuhi sasaran mencapai kedudukan di kelompok ketiga terbaik CP150," katanya yang mengisi masa lapang menonton filem, bersenam ringan dan bermain permainan video.

Terdahulu Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas ditunda bermula pusingan kelima yang sepatutnya berlangsung di Litar Utara Sepang dari 10 dan 11 Oktober lalu berikutan peningkatan kes Covid-19.

Pusingan keenam yang sepatutnya berlangsung dari 31 Oktober dan 1 November di Litar Sepang juga turut ditunda susulan langkah kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Disiarkan pada: November 13, 2020 @ 3:20pm
d