Permotoran

Penamat mengecewakan Super KIP

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pelumba Moto3 Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) negara, Khairul Idham Pawi gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabit dalam kemalangan pada pusingan ke-21 dalam saingan Grand Prix (GP) Valencia di Litar Ricardo semalam.

Pastinya itu bukan yang diharapkan oleh pelumba berkenaan yang kini hanya ada satu lagi peluang untuk membuktikan kewibawaannya di pentas kejohanan dunia juga perlumbaan terakhir dalam kalendar MotoGP di GP Portugal.

Terdahulu penganjur MotoGP mengumumkan bahawa musim yang terganggu akibat Covid-19 akan ditamatkan di GP Portugal dekat Portimao dengan saingan akan bermula pada 20 hingga 22 November.

Mengakui menggemari Sirkit Antarabangsa Algarve itu dengan litar disifatkan sebagai 'roller coaster', Khairul Idham atau dikenali dengan panggilan Super KIP itu berharap dapat melakukan sesuatu dengan keputusan yang membanggakan.

"Perlumbaan di Valencia amat sukar dan saya tidak mendapat rentak yang terbaik apabila terbabit dengan kemalangan.

"Saya tidak putus asa dan akan cuba yang terbaik pada perlumbaan terakhir. Saya akan buktikan sesuatu dan berharap dapat memperbaiki keputusan di Valencia dan menamatkan aksi dengan keputusan yang baik. Saya akan cuba," katanya yang kali terakhir berlumba di Litar Algarve adalah pada 2015 dalam kejuaraan CEV.

Sementara itu, dalam saingan Moto2 dua pelumba Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah daripada Inde Aspar Team Moto2 dan Kasma Daniel Kasmayudin daripada OneXoX TKKR SAG Team masing-masing di tempat ke-19 dan ke-20 dengan catatan masa 40:44.293 saat dan 40:49.017 saat.

Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 2:51pm
d