Permotoran

Azlan Shah tidak malu jadi pengantar makanan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pelumba motosikal negara Azlan Shah Kamaruzaman menegaskan bahawa dia tidak malu menjadi pengantar makanan malah berasa gembira dapat melakukan kerja yang membuatkan dia boleh terus menunggang motosikal - sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan buat pelumba negara itu.

Ketika kalendar perlumbaan negara terhenti akibat daripada penularan wabak Covid-19, Azlan berkata, dia meneruskan perniagaan keluarganya iaitu menjual nasi ayam penyet dan menghantarnya di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor.

Bekas pelumba Moto2 negara dari 2013 hingga 2015 itu berkata, dia mendapat idea untuk menjadi penghantar makanan itu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu apabila ramai tidak boleh keluar untuk membeli makanan jadi mengapa tidak dia menjadi 'budak penghantar' makanan ke rumah pelanggan.

Malah tugas itu membuatkan dia seronok dan memberi kenangan manis kerana banyak pesanan diterima daripada peminat yang meminta dia sendiri untuk menghantar makanan terbabit.

"Saya tak malu. Ini adalah perniagaan keluarga. Bagi saya, saya tak kisah dengan apa kerja yang saya buat janji rezeki halal dan saya gembira dapat kerja seperti ini. Saya dapat menunggang motosikal dan meneroka jalan baru yang sebelum ini tidak pernah saya masuk.

"Saya banyak dapat permintaan yang meminta untuk menghantar sendiri makanan itu kerana mereka ingin jumpa saya depan-depan. Alhamdulillah. Peminat banyak berikan sokongan untuk penjualan makanan ini. Ada ketikanya sampai 40 ke 50 bekas sehari.

"Setakat ini permintaan yang diterima amat menggalakkan. Ada kalanya, isteri dan adik saya juga terpaksa keluar menghantar makanan," katanya.

Namun dia yang kini beraksi bersama pasukan Onexox Tkkr SAG Team dalam saingan cub prix itu turut berkongsi kenangan pahit sebagai penghantar makanan apabila terpaksa meredah hujan bagi menghantar pesanan kepada pelanggan tepat pada masa yang dijanjikan.

"Semua orang ketika ini sedang berdepan tempoh waktu yang sukar. Ramai orang hilang pekerjaan. Seluruh dunia berdepan dengan Covid-19 dan ia bukan senang untuk kita hadapi.

"Tapi kita terpaksa bangkit dan harung bersama-sama. Macam perniagaan saya juga. Ada hari sedikit ada hari banyak," katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 10:00pm
d