Permotoran

Tak wajib maklum pasukan - MAM

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) menjelaskan bahawa sumbangan yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada pelumba motosikal negara Kasma Daniel Kasmayudin adalah bantuan kewangan dan bukannya penajaan.

Atas disebabkan itu beberapa prosedur perlu dipatuhi termasuklah MAM tidak wajib untuk memberitahu mana-mana pihak berhubung surat bantuan itu termasuklah tidak boleh didedahkan kepada pihak ketiga.

MAM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa bantuan dana kewangan yang diberikan itu adalah untuk perbelanjaan tiket penerbangan dan kos penginapan untuk Kasma yang kini beraksi dalam saingan Moto2 Kejuaraan Dunia bersama ONEXOX TKKR SAG Team.

Jelas kenyataan itu MAM dijemput oleh KBS untuk mengadakan pertemuan antara KBS dan pasukan TKKR pada pertengahan tahun 2020.

"Dalam pertemuan itu ada dua perkara yang dibincangkan iaitu, bantuan dana untuk Kasma dan kerjasama antara TKKR dan KBS.

"Pihak KBS bersetuju untuk meluluskan dana bantuan kewangan kepada Kasma melalui MAM pada September lalu.

"MAM seterusnya menerima surat kelulusan daripada pihak KBS berhubung dana berkenaan atas nama Kasma dan MAM memberi tahu Kasma dan ayahnya berhubung kelulusan berkenaan.

"Berkenaan dengan video pihak MAM mendapatkan persetujuan dan kebenaran dari pihak KBS, Kasma dan ayahnya. Tanggung jawab pihak MAM hanya berkenaan dengan permohonan, kelulusan dan penyaluran bantuan dana terhad kepada penerima iaitu Kasma sahaja.

"Apa-apa urusan berkenaan dengan pasukan ialah antara pelumba dan pasukan itu sendiri," katanya.

MAM menjelaskan mengikut ketetapan surat kelulusan dari KBS, pihak MAM hanya perlu memaklumkan kepada Kasma sebagai penerima dana itu dan dalam kelulusan bersyarat daripada pihak KBS, MAM perlu memastikan penerima dana iaitu Kasma mematuhi garis panduan peruntukkan KWASN iaitu salah satunya memberi pengiktirafan kepada kerajaan.

Terdahulu dalam hantaran laman sosial, Facebook ONEXOX TKKR SAG Team meluahkan rasa tidak puas hati apabila tidak dimaklumkan berhubung bantuan itu.

Pemiliknya hanya mengetahui perkara berkenan selepas Kasma memuat naik video dengan ucapan terima kasih tersebar.

Dalam status di Facebook berkenaan, pemilik akaun memaklumkan rasa tidak puas hati apabila pasukan yang menghabiskan jutaan ringgit kepada pelumba berkenaan diketepikan.

Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 7:41pm
d