Permotoran

Hafizh, Khairul gagal pungut mata di Portugal

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Bukan penamat yang dimahukan oleh dua pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah serta Khairul Idham Pawi apabila gagal mengutip mata pada perlumbaan terakhir bersama pasukan masing-masing di Grand Prix (GP) Portugal semalam.

Hafizh yang beraksi untuk pasukan Inde Aspar di saingan Moto2, sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-21 manakala Khairul yang bersama Petronas Sprinta Racing di saingan Moto3 pula mengakhiri perlumbaan di kedudukan ke-28.

Bagi Hafizh, ia adalah perlumbaan yang agak beremosi kerana GP Portugal adalah penampilan terakhirnya bersama pasukan Aspar sebelum berhijrah ke NTS RW Racing GP di saingan Moto2 musim depan.

"Saya bekerjasama dengan beberapa mekanik selama beberapa tahun dan kini kami akan membawa haluan masing-masing.

"Saya akan cuba kembali kuat pada 2021. Pada awal musim kami nampak konsisten tetapi sejak kemalangan di Austria dan kehilangan keserasian dengan jentera pada beberapa pusingan terakhir, ia agak sukar.

"Terima kasih kepada pasukan atas segala-galanya dan saya doakan yang terbaik untuk mereka," katanya yang mengutip 21 mata musim ini.

Khairul atau nama gelarannya Super KIP juga berterima kasih kepada pasukannya meskipun masih tidak pasti berhubung masa depannya selepas ini.

"Perkara paling penting ketika ini adalah mengucapkan terima kasih kepada pasukan sepanjang dua tahun ini.

"Terima kasih kerana membantu saya pada setiap masa, iaitu sejak dari awal musim ini dan sepanjang tahun. Saya doakan yang terbaik untuk mereka," katanya yang gagal mengutip sebarang mata musim ini.

Seorang lagi pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan ONEXOX TKKR SAG Team pula gagal menamatkan perlumbaan.

Disiarkan pada: November 23, 2020 @ 2:16pm
d