Permotoran

Bottas raih petak utama di Manama

Oleh AFP

Manama: Valtteri Bottas berjaya bangkit untuk memadamkan aksi kurang menyengat dalam sesi latihan bebas semalam apabila berjaya meraih petak utama buat kali kelima musim ini apabila dia berjaya mengetepikan rakan sepasukan, George Russell di kelayakan masa Grand Prix (GP) Sakhir awal pagi tadi.

Selepas dikalahkan Russell dalam kedua-dua sesi latihan bebas, pelumba Finland itu kembali menunjukkan rentak sebenar.

"Ia situasi yang sangat berbeza. Saya hanya mahu fokus dengan apa yang saya lakukan dan saya berjaya melakukannya. Kami berada di kedudukan terbaik dalam satu pasukan dan ia memang bagus dapat merangkul petak utama," kata pelumba Mercedes itu.

"Ia memang sangat tegang. Banyak benda yang saya belajar dan menyesuaikan diri. Saya perlu mengetepikan apa yang saya belajar bersama Williams dan belajar semula untuk memandu jentera Mercedes. Saya gembira tapi sedikit kecewa terlepas petak utama," kata Russell.

Ia adalah petak utama kali ke-16 buat Bottas selepas meraih kali pertama di litar yang sama pada 2017.

Max Verstappen dari Red Bull mencatat masa ketiga terpantas mengatasi pelumba Ferrari, Charles Leclerc.

Disiarkan pada: December 6, 2020 @ 7:41am
d