Permotoran

Hamilton dapat 'lampu hijau' di Abu Dhabi

Oleh AFP

Abu Dhabi: Juara Dunia, Lewis Hamilton diberikan lampu hijau untuk kembali berlumba pada penamat musim Formula Satu Grand Prix (GP) Abu Dhabi hujung minggu ini selepas pulih daripada Covid-19.

Hamilton, 35, tersisih saingan hujung minggu lalu di GP Sakhir tetapi FIA dan Mercedes mengesahkan bahawa pemandu itu sudah beberapa kali merekodkan ujian negatif Covid-19 ketika menempuhi tempoh kuarantin 10 hari di Bahrain.

George Russell, yang menggantikan Hamilton minggu lalu dan hampir mencatat kemenangan mengejut pada perlumbaan itu, akan kembali ke pasukannya Williams.

"FIA, Formula 1 dan pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 hari ini mengesahkan bahawa Lewis Hamilton mencatat beberapa kali ujian negatif Covid-19," kata kenyataan pasukan itu.

"Dia sudah melengkapkan kuarantin 10 hari di Bahrain dan boleh meninggalkan negara ini mengikut peraturan pihak berkuasa kesihatan Bahrain.

"Lewis kini sudah tiba di Abu Dhabi selepas menerima pengesahan daripada pihak berkuasa yang dia boleh melakukannya dan selepas kuarantin yang mendapati ujiannya adalah negatif."

Tambah pasukan itu: "Lewis yang diuji negatif di Bahrain dan Abu Dhabi akan dibenarkan memasuki kawasan paddock."

Ketiadaan Hamilton pada GP Sakhir adalah yang pertama dalam karier F1 pelumba itu dan hadir selepas 254 perlumbaan sejak dia melakukan penampilan di GP Australia 2007.

Musim ini dia memastikan rekod kejuaraan pemandu miliknya buat kali ketujuh bagi menyamai Michael Schumacher dan mengatasi rekod kemenangan perlumbaan legenda Jerman itu.

Disiarkan pada: December 11, 2020 @ 8:06am
d