Permotoran

Bertenang jangan tergesa-gesa - Wolff

Oleh AFP

London: Bos Mercedes, Toto Wolff menjelaskan kontrak baru untuk Lewis Hamilton tidak boleh terus menerus disiapkan dengan mendakwa mereka tidak mahu juara dunia itu terburu-buru untuk menandatanganinya.

Pelumba Britain itu meraih kejuaraan dunia kali ketujuh bulan lalu untuk menyamai rekod Michael Schumacher dan ia adalah kemenangan kali keenam selepas tujuh tahun bersama Mercedes namun sehingga sekarang masih belum terikat dengan mana-mana pasukan bagi saingan 2021.

Mercedes menegaskan bahawa perjanjian baru akan disahkan secepat mungkin, dengan mengeluarkan ciapan di Twitter Khamis lalu dengan menggunakan hashtag 'announce' dan menggunakan petikan dari kata-kata Hamilton sebelum ini yang masih berminat untuk kekal.

"Dia berada di puncak dalam sukan ini dan bagi dia sedikit masa buat seketika, jadi kalau terus melakukan dengan tergesa-gesa memang tidak masuk akal.

"Kami sentiasa mementingkan kejuaraan dan tidak mahu diganggu dengan beberapa perbincangan menyukarkan, biarlah ia berlangsung dalam keadaan yang betul.

"Sebelum ini Covid-19 pula mengganggunya (Hamilton terlepas perlumbaan Grand Prix Bahrain selepas diuji positif) jadi ia sedikit tertangguh tapi kami tidak risau kerana pada akhirnya perkara ini dapat diselesaikan nanti.

"Kami tidak meletakkan tarikh yang khusus. Lambat laun ia akan dilakukan juga dan paling terkini apabila kami melakukan sesi ujian pramusim tahun depan," kata Wolff.

Hamilton berkata minggu lalu selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix Abu Dhabi dia mahu menyelesaikan urusan kontrak baru sebelum perayaan Krismas.

Ujian pramusim akan dilakukan pada awal Mac dan berkemungkinan diadakan di Barcelona.

Disiarkan pada: December 19, 2020 @ 2:12pm
d