Permotoran

Kasma Daniel tak kecil hati

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Tiada isu kecil hati atau tidak apabila kontrak Kasma Daniel Kasmayudin bersama SAG Team pada Kejuaraan Dunia Moto2 musim depan ditamatkan.

Ia adalah persetujuan bersama dan bapa kepada Kasma, Kasmayudin Margono menegaskan bahawa karier anaknya dalam dunia permotoran akan tetap diteruskan.

Kata Kasmayudin, Kasma kini mempunyai tawaran untuk kembali beraksi di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

Jelas Kasmayudin, beliau juga mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir minggu lalu berhubung perancangan seterusnya Kasma selepas ini.

"Kasma sebenarnya mendapat tawaran untuk berlumba semula di ARRC bersama Yamaha dalam aksi ASB1000 tahun depan.

"Tapi saya juga sudah bertemu Tan Sri Mokhzani minggu lalu untuk membincangkan situasi terkini kasma dan beliau akan cuba mendapatkan cara bagaimana MAM boleh membantu Kasma berlumba semula di CEV.

"Jadi sekarang ini belum ada sebarang keputusan. Kami akan tunggu lagi. Sama ada dapat ke CEV semula atau tidak kerana ia memerlukan bajet yang lain," katanya yang turut memaklumkan mendapat tawaran berlumba dalam Cub Prix Petronas Malaysia.

Kasma pernah beraksi pada saingan ARRC 2019 kategori Supersports 600cc bersama pasukan Hong Leong Yamaha Malaysia dan muncul selaku naib juara.

Pada tahun sama, Kasma turut beraksi pada saingan CEV 2019 bersama pasukan Dynavolt Intact SIC Junior Team.

Untuk rekod Kasma mempunyai baki kontrak bersama pasukan dari Sepanyol (SAG) itu sehingga akhir musim depan, namun kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk berpisah dan tidak meneruskannya.

Pasukan SAG bakal dikenali dengan nama baharu, Pertamina Mandalika SAG Team, selepas mereka menjalin kerjasama dengan Mandalika Racing Team (MRT) dari Indonesia dan bakal membuat kemunculan sulung pada Kejuaraan Dunia Moto2 musim 2021.

Disiarkan pada: December 27, 2020 @ 12:05am
d