Permotoran

2020 musim terbaik Leclerc

Oleh Agensi

Monaco: Charles Leclerc melabelkan 2020 sebagai musim terbaiknya di saingan Formula Satu (F1) di sebalik Ferrari bergelut sepanjang tahun lalu.

Baru memasuki tahun ketiganya di F1, Leclerc meraih penamat lebih baik berbanding Sebastian Vettel pada tahun terakhir mereka sebagai rakan sepasukan di Ferrari di sebalik keupayaan enjin yang kurang menyerlah.

Ferrari meraih penamat terburuk dalam kedudukan pengeluar sejak 1980 apabila menamatkan saingan di kedudukan keenam dengan Leclerc meraih dua podium dan menduduki tangga kelapan keseluruhan kedudukan pemandu.

Di sebalik segala kesukaran itu, Leclerc tetap menganggap tahun lalu adalah musim terbaiknya berbanding prestasi peribadinya sebelum ini.

"Secara peribadi, saya rasa ia adalah musim yang paling terbaik untuk saya di F1. Dengan prestasi yang saya tunjukkan di atas litar, saya gembira dengan pencapaian musim lalu.

"Saya mengambil risiko dan cuba membantu pasukan meraih sebanyak mungkin mata. Dalam beberapa pusingan perlumbaan lain pula, saya tidak mendapat apa yang disasarkan dan kami gagal mengutip mata.

"Tapi dalam satu sudut yang lain, prestasi saya pada musim lalu sangat positif.

"Saya sangat gembira dengan pencapaian itu dan kini menantikan cabaran pada tahun depan sejauhmana saya boleh capai," katanya.

Leclerc berkata dia kagum dengan cara Ferrari berdepan situasi sukar dan dapat melakukan penambahbaikan menjelang hujung musim.

"Selepas ujian di Barcelona, saya rasa kami semua tahu ada sesuatu yang tidak kena," katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2021 @ 12:03pm
d