Permotoran

Sukar tolak tawaran Ferrari

Oleh Agensi

Madrid: Pemandu Formula Satu (F1), Carlos Sainz menegaskan sangat sukar untuknya menolak tawaran menyertai Ferrari meskipun pasukan itu berdepan kesukaran pada kempen musim lalu.

Ferrari mendapatkan pemandu Sepanyol itu dari McLaren untuk menggantikan juara dunia empat kali, Sebastian Vettel pada Mei tahun lalu, iaitu sebelum bermulanya musim 2020.

Ketika Sainz menjadi watak penting membantu McLaren menduduki tempat ketiga keseluruhan kategori pengeluar, Ferrari melalui kempen paling buruk di F1 sejak 1980 apabila menamatkan saingan di kedudukan keenam.

Bercakap kepada beberapa media terpilih mengenai apa yang meyakinkannya untuk meninggalkan McLaren dan berhjirah ke Ferrari, Sainz berkata: "Pertama sekali, anda memandu jentera Ferrari. Saya rasa tidak perlu dijelaskan lagi mengenainya.

"Menjadi pemandu Ferrari adalah impian setiap pemandu. Dalam situasi ini, sangat sukar untuk berkata tidak.

"Saya yakin sebagai pasukan yang berasal dari Itali sepertimana saya pernah selesa bersama Toro Rosso, Ferrari adalah destinasi terbaik untuk saya.

"Saya mengetahui mengenai Itali, beberapa kenalan di sana, dan berasakan saya mampu memperoleh kejayaan dalam tempoh singkat.

"Selain daripada itu, saya rasa memandu jentera pasukan paling berjaya dalam sejarah F1 adalah impian bagi semua pemandu."

Sainz sering menafikan pendapat yang menyatakan dia mungkin akan menyesal berhijrah ke Ferrari selepas pasukan itu akan menaik taraf chasis 2020 pada musim baharu.

Sebaliknya pemandu berusia 26 tahun itu yakin pasukan dari Maranello itu berada di landasan tepat di sebalik melalui tempoh sukar musim lalu.

Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 11:35am
d